Apabila jembalang tiba-tiba menjadi teman

- Advertisement -

SEBELUM ini parti lambang roket inilah parti jembalang yang Umno mahu patah-patah dan tumbangkan.

Umno ingatkan umat Melayu betapa bahaya DAP ini dan ancamannya terhadap masa depan politik umat Melayu.

Timbalan Presiden Umno pernah berkata:

“Jangan ingat DAP tidak boleh dikalahkan paku mereka telah berkarat, longgar… DAP adalah parti yang banyak menipu rakyat, menabur fitnah serta memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum negara ini.

“Saya yakin masyarakat di negara ini yang cintakan keamanan tidak boleh lagi tertipu oleh parti yang memainkan sentimen perkauman ini jadi mari kita bekerja kuat untuk memenangkan BN.”

Umno dulu kata DAP parti penipu, penabur fitnah, pemecah-belah masyarakat, parti perkauman yang perlu dikalahkan.

Tetapi semalam Umno girang menjadi tuan rumah, melonjak gembira merai dan menyambut kehadiran pemimpin DAP ke ibu pejabat mereka di WTC.

Setelah dapat laba dan kedudukan, DAP bukan musuh dan ancaman lagi. DAP jadi kawan muafakat.

Tergamak Umno meminggirkan kepentingan umat Melayu semata-mata kerana agenda peribadi pemimpin tertinggi mereka.

Namun umat Melayu Islam termasuklah penyokong dan ahli akar umbi Umno punya maruah dan harga diri. 

Martabat bangsa dan Agama lebih mulia diperjuang dan dipertahankan dari mereka yang tergamak bersekongkol dengan musuh demi menyelamatkan periuk nasi.

Perjuangan politik Penyatuan Ummah tanggungjawab kita yang celik. Lepaskanlah tangan mereka yang bermuka-muka. Bersama bertaut pada Tali Allah, bukannya tangan mereka ini.

Jika Presiden dan Timbalan Presiden serta konconya longlai, tidak lagi sanggup berjuang, sesungguhnya ramai lagi yang berani dan bertenaga.

Gelombang Hijau ini sedang bergelora menebus maruah ummah, ayuh bersama mereka yang bersih, berintegriti, jujur dan ikhlas.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 8/2/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!