KUALA KRAI: Kerajaan Negeri Pahang diterajui Umno-DAP terus bertindak tidak matang dan menunjukkan dendam politik apabila menolak permohonan ADUN pembangkang bagi bagi penggunaan premis awam.
Terbaharu, Majlis Walimah Perdana 5.0 anjuran ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz yang dimohon penggunaan Dataran Jam Bandar Tun Abdul Razak, Jengka pada 18 Februari nanti turut ditolak Majlis Daerah Maran.
Permohonan beliau yang telah diajukan pada 15 Disember tahun lalu itu, menerima surat jawapan bertarikh 31 Januari di mana memaklumkan pihak Majlis Daerah Maran membuat keputusan menolak permohonan tersebut.
Namun, dalam surat ditandatangani Setiausaha Majlis Daerah Maran, Sr Mazaitun Hani Zainon itu tidak menyatakan sebarang sebab munasabah terhadap keputusan menolak permohonan yang diajukan Ustaz Shahril Azman itu.
“Saya berasa amat dukacita dengan apa yang berlaku, kerana pasangan pengantin yang akan melangsungkan Majlis Walimah tersebut telah dinafikan hak mereka untuk menggunakan kemudahan premis awam.
“Saya kecewa dengan Kerajaan Umno-DAP Negeri Pahang yang telah bertindak tanpa mengambil kira kepentingan awam melebihi dendam politik yang tidak matang.
“Kita membantu pasangan untuk berkahwin dengan perbelanjaan yang minima dan ini kerja kebajikan yang patut disokong, bukannya menyusahkan rakyat,” bidas beliau.
Kerajaan Umno-DAP Pahang pasca PRU15 sebelum ini juga telah bertindak membatalkan tempahan Dewan Tun Razak Temerloh bagi majlis Jamuan Kesyukuran Parlimen Temerloh anjuran PAS Kawasan Temerloh.
Notis pembatalan saat akhir kurang 24 jam sebelum majlis pada 14 Disember tahun lalu itu telah memaksa PAS Temerloh memindahkan kelangsungan aturcara tersebut ke lokasi lain iaitu ke pekarangan Surau Al-Khairiah, Seberang Temerloh.
Nasib seumpama turut dialami PAS Kawasan Maran apabila dibatalkan tempahan Dewan Jubli Perak dan Dewan Arena Chenor yang bakal diadakan majlis khatan dan tayangan skrin besar perlawanan akhir Piala Dunia.
Majlis sepatutnya berlangsung pada 18 Disember 2022 itu bagaimanapun tetap diteruskan dengan berpindah lokasi ke pekarangan kediaman Ahli Parlimen Maran pada tarikh sama. – HARAKAHDAILY 8/2/2023
K’jaan Umno-DAP Pahang terus ulangi dendam politik
- Advertisement -