PRN: Figura politik sertai PN beri kesan positif

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

PENDANG: PERIKATAN NASIONAL (PN) sentiasa membuka ruang untuk mana-mana pemimpin yang dipecat atau digantung Umno menyertai parti itu.

- Advertisement -

Pengerusi PN Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penyertaan figura politik akan memberikan kesan positif dan kekuatan kepada PN terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya PN sentiasa mengalu-alukan pemimpin berkualiti dan hebat daripada Umno.

“Ia secara tidak langsung memberi kesan positif kepada kekuatan PN,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah di Dewan Cenderawasih, Pendang semalam.

Mesyuarat majlis tertinggi Umno baru-baru ini memecat bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Tertinggi Tan Sri Noh Omar.

Selain itu menggantung Ahli Parlimen Sembrong Datuk Hishammuddin Hussein dan Timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan Suffian selama enam tahun atas alasan melanggar disiplin parti ketika Pilihan raya Umum Ke-15.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah turut menyambut baik khabar angin Khairy akan berhijrah menyertai PN.

“Saya berharap khabar angin itu menjadi kenyataan memandangkan bekas Ahli Parlimen Rembau itu mempunyai rekod yang baik.

“Orang baik mai, orang tidak bagus pergi berhimpun belah sana (Pakatan Harapan). Mereka yang dibuang Umno seperti Khairy, Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Noh, Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Dato’ Seri Hishammuddin, semua baik-baik dan hebat serta terkenal seluruh Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu pada majlis tersebut seramai 228 penduduk menerima geran hak milik tanah, manakala 110 menerima Lesen Penempatan Sementara (LPS) dan 77 surat hak milik sambungan. – HARAKAHDAILY 8/2/2023

- Advertisement -