Iran dedah pangkalan tentera udara bawah tanah

Je pejuang di pangkalan udara bawah tanah yang dipanggil Oqab 44 (Helang 44).
- Advertisement -

DUBAI: Iran mendedahkan pangkalan tentera udara bawah tanah yang dipanggil Oqab 44 (Helang 44) dengan saiz yang cukup besar untuk menempatkan jet pejuang.

- Advertisement -

Mengikut laporan Agensi Berita Republik Islam (IRNA), pangkalan itu mampu menyimpan dan mengendalikan jet pejuang serta dron. Laporan itu tidak menjelaskan lokasi pangkalan itu.

IRNA menyatakan bahawa Oqab 44 adalah antara pangkalan tentera udara yang paling penting di negara itu, dibina di bawah tanah, menempatkan jet pejuang yang dilengkapi dengan peluru berpandu jelajah jarak jauh.

Pada Mei tahun lalu, tentera Iran memberikan butiran mengenai satu lagi pangkalan bawah tanah yang menempatkan dron, ketika negara itu berusaha untuk melindungi aset ketenteraan daripada kemungkinan serangan udara rejim Israel.

Mejar Jeneral Mohammad Bagheri dan Mejar Jeneral Abrolrahim Mousavi melawat Oqab 44

“Sebarang serangan ke atas Iran daripada musuh kita, termasuk Israel, akan melihat tindak balas daripada banyak pangkalan tentera udara kita termasuk Oqab 44,” kata Ketua Staf Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Bagheri kepada televisyen kerajaan ketika majlis pelancaran pangkalan itu.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Mejar Jeneral Abrolrahim Mousavi dan beberapa komander kanan Tentera Iran yang lain.

Mengikut IRNA, antara kemudahan di pangkalan itu ialah pos amaran dan arahan, hangar, tapak penyelenggaraan, kemudahan navigasi dan tangki bahan api, pangkalan udara itu boleh menyediakan tentera udara untuk menjalankan operasi yang berbeza-beza.

Mempunyai ciri keselamatan yang tinggi, pangkalan yang dibina di bawah pergunungan di lokasi berbeza, memudahkan operasi udara mengejut dari lokasi yang tidak dijangka pada masa yang tidak dijangka. – IRNA/REUTERS

- Advertisement -