Juventus perlu 40 mata untuk elak penyingkiran

Massimiliano Allegri mengejar 40 mata sebagai sasaran.
- Advertisement -

Juventus menumpukan perhatian untuk memastikan mendapat mata mencukupi untuk mengelakkan penyingkiran daripada Serie A, kata jurulatih Massimiliano Allegri.

- Advertisement -

Juventus ditolak 15 mata musim ini oleh Mahkamah Bola Sepak Itali yang menyiasat urusan perpindahan kelab itu pada Januari lalu, menyebabkan pasukan paling berjaya negara itu yang sebelum ini di tangga ketiga menjunam ke pertengahan liga.

Kelab itu kini berada di tangga ke-13 liga dengan 23 mata, sepuluh mata di atas zon penyingkiran.

“Kami ditolak 15 mata dan perlu memikirkan untuk mencapai 40 mata. Sungguh ironis, tetapi kami perlu memikirkan matlamat ini terlebih dahulu dan kemudian mengambil langkah demi langkah,” kata Allegri menjelang perlawanan menentang Salernitana.

“Bagi kami, perkara penting ialah menghadapi perlawanan dengan pendekatan yang betul. Kami mesti meletakkan diri kami setanding dengan Salernitana. Kami perlu kembali ke landasan dan mula mengejar pasukan di hadapan dan melonjak dalam liga.

“Perlawanan esok akan menjadi rumit. Peminat mereka bersemangat, (pengurus Davide) Nicola melakukan kerja yang hebat di sana dan mereka bangkit daripada kemenangan (2-1) di Lecce.”

Allegri berkata kebanyakan anggota skuadnya tersedia menghadapi perlawanan itu kecuali beberapa pemain kerana masalah kesihatan, iaitu Leonardo Bonucci, Paul Pogba dan Leandro Paredes.

Juve masih mempunyai peluang untuk mengumpul beberapa kejuaraan musim ini kerana masih bersaing dalam Coppa Italia dan Liga Europa.

“Ini adalah musim yang panjang dan kami perlu meneruskan perjalanan kami. Kami berada di separuh akhir Coppa Italia dan matlamat kami adalah untuk mara dalam Liga Europa,” tambah Allegri.

“Kami mesti tunjukkan apa yang kami cakap di padang, tanpa sebarang alasan.” – REUTERS

- Advertisement -