Mogok babitkan perkhidmatan pos seluruh Jerman diteruskan

- Advertisement -

BERLIN: Mogok membabitkan perkhidmatan pos Jerman Deutsche Post dijangka berterusan di seluruh negara pada Selasa.

- Advertisement -

Mogok dijadual berlangsung di Dortmund, Hamburg, Saarbrücken, Polch di negeri Rhineland-Palatinate, Nuremberg, Frankfurt dan Stuttgart, menurut kesatuan sekerja Verdi.

Kesatuan itu mendesak kenaikan gaji sebanyak 15 peratus dalam rundingan kolektif semasa, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Menurut kesatuan itu, kira-kira 8,000 pekerja pos enggan bekerja pada Isnin.

Penghantaran kira-kira 1 juta surat dan beberapa ratus ribu bungkusan dilaporkan terganggu, menurut pejabat pos.

“Mogok berkenaan adalah “isyarat jelas kepada majikan: pekerja bersedia untuk memperjuangkan tuntutan mereka dan kini menjangkakan satu pusingan rundingan yang berakhir dengan kenaikan gaji yang besar,” kata timbalan pengerusi dan perunding Verdi Andrea Kocsis.

Verdi menuntut 15 peratus kenaikan gaji untuk kira-kira 160,000 pekerja yang dilindungi oleh perjanjian perundingan kolektif dengan tempoh kontrak selama setahun.

Lembaga Deutsche Post menolak permintaan itu sambil menyifatkan ia sebagai tidak realistik.

Rundingan itu dijangka berlanjutan memasuki pusingan ketiga pada 8 dan 9 Feb di Dusseldorf.

Pejabat pos mengumumkan bahawa ia akan membentangkan tawarannya kemudian. – BERNAMA

- Advertisement -