Gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria, sekurang-kurangnya 195 orang maut

Seorang penduduk memeriksa runtuhan bangunan di Diyarbakir, selatan Turkiye.
- Advertisement -

ANKARA: Gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter melanda tenggara Turkiye dan Syria, hari ini, merobohkan bangunan dan menyebabkan penduduk panik berpusu-pusu keluar pada waktu malam musim sejuk.

- Advertisement -

Sekurang-kurangnya 195 orang terbunuh di kedua-dua negara, ratusan lagi cedera dan jumlah korban dijangka meningkat.

Pekerja penyelamat dan penduduk bertungkus lumus mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan bangunan yang hancur di beberapa bandar kedua-dua belah sempadan. Di satu bandar Turkiye yang dilanda gempa bumi, berpuluh-puluh orang menarik keluar ketulan konkrit dan logam berpintal.

Orang ramai di jalanan menjerit kepada penghuni dalam bangunan pangsapuri yang sebahagiannya tumbang dan senget.

Gempa itu yang boleh dirasai sejauh Kaherah, Mesir, berpusat di utara bandar Gaziantep di kawasan kira-kira 90 kilometer dari sempadan Syria.

Di sebelah sempadan Syria, gempa itu memusnahkan kawasan yang dikuasai pembangkang yang dipenuhi dengan kira-kira empat juta rakyat Syria yang berpindah dari bahagian lain negara itu akibat perang saudara yang berpanjangan.

Sebahagian besar hidup dalam keadaan uzur dengan penjagaan kesihatan yang sedikit. Sekurang-kurangnya 11 terbunuh di sebuah bandar, Atmeh dan ramai lagi tertimbus dalam runtuhan, kata seorang doktor di bandar itu, Muheeb Qaddour kepada The Associated Press melalui telefon.

“Kami khuatir bahawa kematian mencecah ratusan orang,” kata Qaddour merujuk kepada kawasan barat laut yang dikuasai pemberontak. “Kami berada di bawah tekanan yang melampau.”

Di sebelah Turkiye, kawasan itu mempunyai beberapa bandar besar dan menjadi rumah kepada berjuta-juta pelarian Syria.

 Keadaan bangunan yang runtuh di bandar Azmarin, wilayah Idlib di utara Syria
Lokasi kawasan gempa bumi di kawasan sempadan Turkiye dan Syria
 Gempa bumi kuat meruntuhkan bangunan di wilayah Kahramanmaras, selatan Turkiye

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, berkata di Twitter bahawa “pasukan mencari dan menyelamat segera dihantar” ke kawasan yang dilanda gempa.

“Kami berharap akan melalui bencana ini bersama-sama secepat mungkin dan dengan kerosakan yang paling sedikit,” tulisnya.

Terdapat sekurang-kurangnya 6 gempa susulan dan Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu menggesa orang ramai supaya tidak memasuki bangunan yang rosak kerana berisiko tinggi.

“Keutamaan kami ialah membawa keluar orang yang terperangkap di bawah bangunan yang musnah dan memindahkan mereka ke hospital,” katanya.

Pada mulanya, Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye berkata sekurang-kurangnya 76 orang terbunuh dan 440 orang cedera di tujuh wilayah Turkiye.

Jumlah kematian di kawasan yang dikuasai kerajaan di Syria akibat gempa semalam meningkat kepada 99 orang, menurut media kerajaan Syria yang memetik Kementerian Kesihatan. Selain itu, sekurang-kurangnya 334 orang cedera di Syria. Terdahulu, 20 orang dilaporkan terbunuh di kawasan yang dikuasai pemberontak di negara yang dilanda perang itu.

Sekurang-kurangnya 130 bangunan runtuh di wilayah Malatya di Turkiye, berjiran dengan pusat gempa, kata Gabenor Hulusi Sahin. Di bandar Diyarbakir di Turkiye, sekurang-kurangnya 15 bangunan runtuh.

Di barat laut Syria yang dikuasai pembangkang, Pertahanan Awam Syria menyifatkan keadaan di wilayah itu sebagai malapetaka sambil menambah bahawa keseluruhan bangunan telah runtuh dan orang ramai terperangkap di bawah runtuhan.

Pertahanan awam menggesa orang ramai mengosongkan bangunan untuk berkumpul di kawasan terbuka. Bilik kecemasan penuh dengan cedera, kata Presiden Persatuan Perubatan Amerika Syria, Amjad Rass.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa itu berpusat kira-kira 33 kilometer dari Gaziantep, sebuah bandar utama dan ibu kota wilayah. Ia berpusat 18 kilometer dalam bumi dan gempa susulan kuat 6.7 bergemuruh kira-kira 10 minit kemudian. – AP

- Advertisement -