Pintu pertandingan ditutup elak kedudukan presiden tergugat

- Advertisement -

Perhimpunan Agung Umno 2022 yang berlangsung pertengahan Januari lepas membuat keputusan dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan Umno yang akan datang.

- Advertisement -

Riuh rendah rumah tangga Umno tidak terhenti di situ. Sebaliknya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengambil langkah drastik memastikan pemimpin yang berminat mencabar kedudukannya dicantas lebih awal.

Maka pemimpin yang berani seperti Khairy Jamaluddin menjadi mangsa. Dia dipecat keahliannya dalam parti itu. Manakala ramai lagi pemimpin lain dipecat dan digantung keahlian pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini.

Perkembangan yang berlaku akhir-akhir ini dianggap detik-detik akhir Umno dalam arus perdana politik negara. Umno tidak menjangka parti itu mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan PRU15.

Biarpun pemimpin akar umbi Umno tahu parti itu kalah kerana imej pemimpin yang ada sekarang terpalit isu rasuah dan kemelut integriti, namun Khairy dan rakan sekutunya menjadi mangsa.

Pemimpin Umno menyembunyi isu tersebut, sebaliknya melabelkan pemimpin Umno yang tidak sebulu dengan presiden melakukan sabotaj terhadap parti sebagai punca kekalahan.

Umno tidak mahu bermuhasabah kelemahan sebenar mereka yang menyebabkan ditolak rakyat.

Bagi menghalalkan pemecatan Khairy dan pemimpin yang ‘berani mati’ pemimpin Umno memberi alasan pintu pertandingan jawatan tertinggi ditutup bagi mengelakkan perpecahan.

Sedangkan ramai melihat tanpa perebutan jawatan, Umno sebenarnya sudah pecah. Pendukung Umno yang sayangkan parti mahu pemimpin yang bermasalah dan tercalar isu integriti diganti.

Sebaliknya apa yang berlaku agenda pembersihan besar-besaran dilakukan terhadap pemimpin yang cuba membetulkan semula haluan Umno. Mereka dilabel mahu melawan presiden.

Tindak tanduk pemimpin Umno sekarang seumpama menelan ubat tahan sakit yang hanya akan menghilangkan sakit seketika, namun ia tidak akan menyembuhkan.

Jelas pada pandangan umum, Zahid dianggap liabiliti kepada Umno. Memang secara logiknya beliau perlu meletak jawatan sebagai kerana prestasi Umno pada PRU15 yang jauh lebih buruk berbanding PRU14.

Dia sepatutnya berjiwa besar seperti Najib Razak yang melepaskan jawatan Umno selepas Umno merosot pada PRU14. Lebih-lebih lagi presiden Umno sekarang menghadapi pertuduhan penyalahgunaan dana yayasan.

Ramai melihat Zahid terus mempertahan kedudukan sebagai Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri ada kemungkinan peluang untuk tidak menjejaki Najib.

Pemimpin dan ahli-ahli Umno faham tentang perkara ini. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Sebagai presiden dan ada kedudukan dalam kerajaan membuatkan orang lain terduduk.

Selepas Khairy disingkirkan tiada lagi pemimpin Umno yang berani mengambil risiko membuat perubahan. Iyalah, kalau mereka berjaya senang cerita. Sebaliknya jika kalah bermakna mereka akan terbuang. Itu risikonya.

Lebih baik mereka membiarkan penyakit Umno semakin membarah. Ubat tahan sakit, bukannya ubat untuk menyembuhkan sebaliknya boleh merosakkan organ dalaman parti itu. – HARAKAHDAILY 6/2/23

- Advertisement -