Chelsea tampilkan pemain termahal Fernandez, diikat Fulham 0-0

Enzo Fernandez mempamerkan kelas tersendiri dalam perlawanan pertama untuk Chelsea.
- Advertisement -

Pemain yang mencatatkan rekod pembelian British, Enzo Fernandez merasai pengalaman pertamanya dalam bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila Chelsea seri 0-0 menentang Fulham dalam perlawanan saingan setempat yang rancak, tetapi akhirnya mengecewakan.

- Advertisement -

Pemain tengah Argentina yang memenangi Piala Dunia Qatar, mengosongkan poket pemilik Chelsea dari Amerika Syarikat hampir 107 juta Pound (RM549 juta) kelihatan selesa dan menunjukkan sentuhan hebat, membuat hantaran tepat dan menerjah lawan dengan baik.

Namun, Fulham menamatkan perlawanan dengan lebih gembira di Stamford Bridge, setelah memperoleh empat mata daripada jiran kaya mereka dalam dua perlawanan liga musim ini, melonjakkan kelab itu ke tangga keenam liga. Chelsea pula berada di tangga kesembilan dengan 30 mata daripada 21 perlawanan.

Chelsea yang ditewaskan 2-1 oleh Fulham dalam perlawanan tiga minggu lalu, tidak dapat mencari kelebihan di hadapan gawang. Kai Havertz hampir memberikan gol pertama dengan tendangan lambung pada babak pertama, tetapi terkena tiang.

Jurulatih Chelsea, Graham Potter, dengan pembelian pemain baharu bernilai 300 juta Pound, memberikan permulaan pertama kepada Mykhailo Mudryk, tetapi pemain Ukraine itu kelihatan tenggelam di sebelah kanan dan digantikan oleh Noni Madueke yang kelihatan lebih mantap.

“Kami mempunyai ramai pemain baharu. Saya pasti apabila tiba masanya, kami akan mengenali permainan masing-masing dengan lebih santai,” kata Madueke.

Potter turut mengalu-alukan kepulangan pemain sayap England, Reece James dan Ben Chilwell serta Raheem Sterling daripada kecederaan, tetapi kehadiran mereka gagal membantu Chelsea menembusi benteng pertahanan Fulham.

Tandukan Sterling ke sudut atas pada minit-minit akhir permainan berjaya diselamatkan oleh Leno.

“Ini adalah permainan berpasukan. Kami lakukan setiap minggu. Pertahankan dari depan dan serang dari belakang. Ia memerlukan usaha semua pemain,” kata kapten Fulham, Tim Ream

Fulham mempunyai peluang untuk memalukan saingan mereka menerusi bekas penyerang Chelsea Willian, Aleksandar Mitrovic, Joao Palhinha dan Andreas Pereira, tetapi gagal membolosi gawang tuan rumah.

Willian dari Brazil berkata, perlawanan ini adalah malam istimewa untuknya selepas tujuh tahun bermain untuk Chelsea. “Kami berhak mendapat sedikit lagi, tetapi sukar untuk datang ke sini. Mereka adalah pasukan yang bagus,” tambahnya. – REUTERS

- Advertisement -