Perluas latihan ketenteraan, Korea Utara beri amaran

- Advertisement -

SEOUL: Korea Utara dilaporkan akan mengambil tindakan “lebih keras” terhadap langkah Amerika Syarikat (AS) memperluas latihan ketenteraannya bersama dengan Korea Selatan.

- Advertisement -

Kementerian Luar Pyongyang dalam satu kenyataan mendakwa latihan ketenteraan bersama dalam skala dan skop yang lebih besar itu seolah-olah satu percubaan untuk memburukkan situasi keselamatan di Semenanjung Korea dan meningkatkan lagi ketegangan.

“Ia jelas tindakan AS akan menyebabkan Semenanjung Korea menjadi medan meletusnya perang lebih besar dan zon perang yang lebih kritikal,” lapor Agensi Berita Yonhap memetik kementerian itu.

Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin turut dijadual melawat Seoul awal minggu ini untuk berbincang dengan rakan sejawatannya dari Korea Selatan dengan agenda perbincangan antara lain mengenai lebih banyak penempatan aset strategik termasuk jet F-22 dan F-35.

Menurut Korea Utara mereka bersedia untuk berdepan apa jua cabaran ketenteraan dengan “kuasa nuklear yang paling hebat” dan tidak berminat untuk mengadakan sebarang dialog selagi pihak berkenaan meneruskan “dasar bermusuhan”.

Beberapa jam sebelum itu, Korea Selatan dan AS mengadakan latihan udara bersama, melibatkan pesawat pengebom strategik B-1B serta pesawat F-22 dan F-35B Tentera Udara AS.

Pada tahun lepas, Korea Utara telah melancarkan sekitar 70 peluru berpandu balistik yang paling banyak dalam tempoh setahun, di tengah-tengah spekulasi berterusan yang negara ini mungkin menjalankan ujian nuklear dalam masa terdekat. – BERNAMA

- Advertisement -