Tarikh PRN ambil kira banyak faktor

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) masih belum diputuskan kerana perlu mengambil kira beberapa situasi, termasuk tempoh antara Mac hingga April, umat Islam akan berpuasa pada Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

- Advertisement -

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selepas itu umat Islam akan menunaikan ibadat haji pula.

“Satu lagi tarikh penting, iaitu 18 Jun iaitu Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah. Mungkin lepas itu kut, kita buat apa yang patut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Dewan Seri Mentaloon, malam tadi.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, yakin PERIKATAN NASIONAL (PN) mampu melebarkan pengaruh di Negeri Sembilan dan Selangor serta menggegarkan Pulau Pinang.

Menurutnya, pemimpin Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP di Pulau Mutiara turut mengakui kemungkinan akan kehilangan beberapa kerusi DUN pada PRN tidak lama lagi.

Kata beliau juga, PN Kedah dijangka mampu menguasai 33 daripada 36 kerusi DUN Kedah walaupun PH bergabung bersama Barisan Nasional (BN) pada PRN kali ini.

“Ini kerana gelombang rakyat terhadap PN masih mampu dikekalkan melalui pendekatan dan strategi yang dirancang.

“Tambahan pula pemecatan beberapa pemimpin kanan Umno baru-baru ini, bukan sahaja menjejaskan parti itu sebaliknya turut memberi kesan kepada PH.

“Bagaimanapun, kita tidak mengambil isu itu sebagai jalan mudah sebaliknya kita sentiasa bersedia,” katanya yang juga Pengerusi PN Kedah.

Sanusi juga berkata, kemungkinan PRN di negeri-negeri yang tidak dibubarkan pada PRU-15 lalu akan diadakan serentak.

Malah, katanya perbincangan secara tidak rasmi telah diadakan bagi memudahkan urusan pengundian yang diadakan secara serentak. – HARAKAHDAILY 1/2/23

- Advertisement -