Siapa pengganti Klopp?

- Advertisement -

PADA hari Ahad minggu ini, Liverpool telah tersingkir dari Piala FA apabila kalah kepada Brighton 1-2 di Stadium Komuniti Amex. Liverpool telah memenangi piala tersebut musim lepas. Kekalahan itu merupakan kekalahan kedua mereka kepada Brighton dalam tempoh 2 minggu. Pada 14 Januari lepas mereka tewas 3-0 di stadium yang sama di dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pada bulan Januari tahun lepas, Liverpool masih mengejar 4 trofi. Tetapi tahun ini mereka telah tersingkir dari Piala FA dan Piala Liga (Piala Carabao). Di dalam saingan EPL, mereka di tempat ke-9 iaitu 21 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal. Mereka juga 10 mata di belakang kedudukan untuk layak ke UEFA Champions League (UCL) dengan baki 19 perlawanan musim ini.

Hanya UCL peluang terakhir Liverpool untuk memenangi trofi musim ini. Tetapi mereka berhadapan dengan tugas berat kerana akan berhadapan dengan gergasi bolasepak La Liga, Real Madrid, pada pusingan 16 (Round of 16). Mereka akan bertemu pada 21 Februari di Anfield dan 15 Mac di Santiago Bernabéu. Jika mereka gagal, mereka akan mengakhiri musim ini dengan tangan kosong.

Untuk tahun 2023, Liverpool telah bermain sebanyak 6 kali dan hanya menang sekali. Justeru tidak menghairankan terdapat khabar-khabar angin bahawa pengurus mereka, Jurgen Klopp, akan kehilangan pekerjaan. Tahun ini merupakan tahun ketujuh Klopp di Liverpool dan ramai sedang bercakap mengenai ‘sumpahan 7 tahun’ (seven year curse) yang menghantui pengurus dari Jerman itu. Di 2 kelab sebelum ini, Mainz dan Borussia Dortmund, Klopp meninggalkan mereka pada tahun ketujuh apabila prestasi mereka menjunam.

Justeru tidak keterlaluan bagi penyokong-penyokong Liverpool untuk membuat spekulasi mengenai pengganti Klopp. Satu nama yang disebut oleh liverpool.com sebagai pengganti Klopp adalah Pengurus Bayer Leverkusen, Xabi Alonso. Pengurus dari Sepanyol berumur 41 tahun itu bermain untuk kelab Merseyside tersebut dari 2004 hingga 2009. Beliau telah memenangi UCL, Piala FA, dan UEFA Super Cup. Alonso memang disanjung oleh penyokong-penyokong Liverpool tetapi beliau baru sahaja dilantik oleh kelab Bundesliga itu pada musim ini. Leverkusen pula berada di pertengahan liga dan sudah tentu Alonso perlu membuktikan sesuatu sebelum meninggalkan Jerman.

Satu lagi nama yang dekat di hati penyokong-penyokong adalah Steven Gerrard yang bermain untuk The Reds dari 1998 hingga 2015. Beliau mencipta nama sebagai Pengurus di kelab Scotland, Rangers dari 2018 hingga 2021. Di sana Rangers telah memenangi liga pada musim 2020/21 tanpa kalah walaupun sekali. Walau bagaimanapun rekod beliau tercemar apabila pada musim 2022/23 telah dipecat oleh Aston selepas hanya 12 perlawanan. Kelebihan Gerrard adalah beliau pernah menjadi Pengurus pasukan bawah 18 tahun dan bawah 19 tahun Liverpool oleh itu memahami budaya pengurusan di kelab itu.

Tetapi adakah keadaan yang dialami oleh Liverpool adalah disebabkan oleh Klopp? Setahun yang lepas kelab keramat ini sedang mengejar 4 trofi. Mereka pernah memenangi UCL, Piala Dunia Kelab FIFA dan EPL. Mustahil Klopp menjadi Pengurus yang teruk dalam sekelip mata. Sudah tentu ada sebab-sebab lain. Polisi pemilik Liverpool, Fenway Sports Group (FSG) yang dikatakan enggan berbelanja besar mungkin puncanya. Memang terdapat pelabur yang mahu membeli keseluruhan kelab Liverpool tetapi FSG hanya mahu menjual saham minoriti. FSG mahu kekal menjadi pemilik utama.

Tanpa suntikan kewangan ini, sudah Klopp tidak akan mendapat pemain-pemain yang diperlukan. Liverpool boleh dianggap sebagai kelab dalam transisi. Mereka perlu menggantikan pemain-pemain yang sudah melepasi zaman kegemilangan mereka atau yang sedang mengalami kecederaan. Terdapat beberapa pemain di dalam ‘wish list’ Klopp dan penyokong-penyokong untuk menguatkan bahagian tengah (midfield) mereka. Liverpool FC News melaporkan Oktober lepas mereka adalah Jude Bellingham (Borussia Dortmund), Ismael Bennacer (AC Milan), Yuri Tielemans (Leicester) dan Marcelo Brozovic (Inter Milan). Setakat hari ini hanya Cody Gakpo pemain Belanda dari PSV Eindhoven merupakan pemain berprofil tinggi yang tiba di Anfield.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
31 Januari 2023

Nota: Terima kasih kepada Nazir Zainal di atas nasihat. HARAKAHDAILY 31/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -