MACHANG: Alim ulama sewajarnya menasihati pemimpin negara terhadap batas-batas menyantuni penganut agama lain dalam menyambut sesuatu perayaan.
Ketua Armada Nasional Bersatu, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, mengikut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan orang Islam tidak boleh menyertai upacara Ponggal kerana ia ada unsur keagamaan.
Boleh rujuk fatwa:
https://muftiwp.gov.my/…/3062-al-afkar-39-muslim.
Katanya, ia berbeza dengan sambutan Tahun Baru Cina yang bersifat kebudayaan.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim jangan pula tersilap langkah. Ini macam sudah tersilap. Sama juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merayakan Ponggal di Rumah Hitam MUDA tempoh hari.
“Jangan ulangi kesilapan seperti mana Datuk Seri Najib Razak lakukan terdahulu sewaktu perayaan Thaipusam,” katanya yang juga Ahli Parlimen Machang pada hantaran di laman sosialnya, hari ini.
Menurutnya juga, pandangan itu bukan teguran politik sebaliknya sebagai peringatan sesama saudara seagama.
“Semoga Allah menjaga akhlak dan adab kita dalam beragama dan sesama rakan jiran penganut agama lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/1/23