Hakisan pantai Kampung Damat dapat perhatian segera wakil rakyat

Hakisan teruk yang melanda Pantai Damat membahayakan keselamatan penduduk.
- Advertisement -

BACHOK: Hakisan pantai di Kampung Damat dekat sini, sejak Khamis lepas akibat ombak besar sudah diketengahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, beliau menghubungi JPS selepas meninjau lokasi kejadian setelah mendapat aduan daripada penduduk tempatan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, beliau menghubungi JPS selepas meninjau lokasi kejadian setelah mendapat aduan daripada penduduk tempatan.

“Penilaian dan justifikasi kerja akan diambil JPS Bachok dan diangkat kepada JPS negeri untuk mitigasi selanjutnya, supaya masalah tersebut tidak berlarutan.

“Kami juga menyampaikan bantuan awal kepada penduduk yang terjejas. Saya berterima kasih kepada JPS Bachok, Adun, penggawa serta penghulu yang bertindak segera,” katanya selepas meninjau pantai Kampung Damat, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Hasan Abdul Rahman, 75, berkata, beliau risau melihat angin dan ombak begitu kuat sehingga menghakis kawasan kediamannya.

Katanya, hakisan pantai berlaku sejak tiga tahun lalu dan sekarang semakin membimbangkan penduduk yang tinggal di pesisiran pantai.

“Sejak Khamis yang lalu, saya bersama keluarga termasuk anak dan cucu terpaksa berpindah ke rumah saudara yang agak jauh dari kawasan pantai,” katanya.

Seorang lagi penduduk Cik Kamariah Cik Kob, 50, turut meluahkan kebimbangan memandang keadaan hakisan semakin teruk.

Justeru katanya, pihak bertanggungjawab perlu mengambil langkah segera dan menyediakan penempatan sementara kepada mereka yang terjejas.

“Sejak ombak kuat berlaku, kami sekeluarga tidak tidur di rumah dan terpaksa menumpang di rumah saudara buat sementara waktu” katanya. – HARAKAHDAILY 29/1/23

- Advertisement -