Idea HDB lemahkan kuasa politik Melayu

AYER KEROH: Tindakan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil konsep dan idea daripada pakar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura dibimbangi sebagai satu usaha melemahkan kuasa politik orang Melayu.

Menurut Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, ini adalah berdasarkan apa yang telah dilaksanakan di negara jiran dan kesannya terhadap orang Melayu di negara itu.

Advertisement

“Di Singapura, banyak dasar seperti kuota perumahan, Group Representation Constituency (Kumpulan Perwakilan Pengundi) dan skim penempatan semula bandar yang terbukti berjaya melemahkan kuasa politik orang Melayu.

“Inilah konsep dan idea HDB. Hari ini, konsep ini cuba diperluas ke seluruh Malaysia oleh Menteri KPKT. Di Pulau Pinang, DAP sudah berjaya. Kini sasarannya Persekutuan.

“DAP mahu jadikan KPKT sebagai batu loncatan untuk mencapai agenda mereka. Jika agenda licik ini berjaya, ia malapetaka kepada orang Melayu,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bemban menambah bahawa sejarah tidak pernah menipu dan sepatutnya menjadi panduan serta iktibar.

“Mereka yang tak belajar dari sejarah akan mengulangi kesilapan sama berulang kali. Pada 1989, Singapura melaksanakan kuota kediaman etnik. Kuota ini mensyaratkan orang Melayu tidak dibenarkan melebihi 20 peratus dalam sesebuah kawasan pilihan raya.

“Kuota etnik ini juga mengehadkan hanya 22 peratus orang Melayu dibenarkan dalam setiap blok perumahan awam,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

Jika agenda licik ini berjaya, katanya ia adalah malapetaka kepada orang Melayu dan persoalannya orang Melayu hendak berharapkan kepada siapa untuk bangkit menentang agenda halus DAP.

“Sehingga kini langsung tiada pemimpin Umno bersuara. Yang lantang bersuara dan berani mendedahkan agenda licik DAP ini cuma pemimpin PN,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/1/23