Gesa Kedutaan Sweden dipanggil

Susulan insiden bakar al-Quran

- Advertisement -

SAYA ingin mengulangi gesaan yang dibuat Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin supaya kerajaan segera memanggil kedutaan Sweden susulan insiden membakar al-Quran di Stockholm, Sweden beberapa hari lalu.

Sungguh ironi insiden sedemikian seolah-olah mendapat restu daripada Kerajaan Sweden atas nama kebebasan, sedangkan ia merupakan langkah provokatif dan menghina agama Islam. 

Tindakan membakar al-Quran oleh ahli politik berdarah Sweden-Denmark, Rasmus Paludan bukanlah kali pertama berlaku. Tahun lalu tindakan provokasi yang sama telah dilakukan sehingga mendorong kebangkitan daripada umat Islam. 

Paludan mensasarkan bandar-bandar yang didiami oleh umat Islam seperti Linkoping, Malmo dan Stockholm sendiri. Lebih mendukacitakan adalah reaksi Kerajaan Sweden lebih bimbangkan keganasan yang bakal tercetus selepas insiden tersebut, bukan sebaliknya mencegah langkah membakar al-Quran itu terlebih dahulu. 

Oleh itu, sewajarnya kerajaan menyuarakan amaran yang tegas ini melalui jalan diplomatik yang ada. Kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang insiden provokatif apatah lagi menghina kesucian agama Islam. 

Tambahan lagi, saya juga menyeru umat Islam supaya turun bersolidariti bersama-sama membantah penghinaan terhadap agama Islam ini pada Jumaat ini, 27 Januari di KLCC berarak ke kedutaan Sweden. Sudah sampai masanya umat Islam menyuarakan bantahan keras terhadap Kerajaan Sweden ini.

Saya juga ingin menggesa kerajaan supaya mengusulkan suatu mesyuarat tergempar OIC bagi membincangkan tindakan susulan yang lebih meluas melibatkan negara-negara Islam yang lain. Setiap ruang diplomatik perlu dioptimum bagi membantah tindakan tersebut dengan tegas. Sekian, terima kasih.

YB USTAZ DATO’ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
3 Rejab 1444 Hijri | 25 Januari 2023 Miladi – HARAKAHDAILY 25/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -