Westernisasi, kelucahan dan kebodohan

- Advertisement -

PROJEK Pembaratan

Serangan pemikiran terhadap Dunia Islam boleh dikatakan bermula dengan usaha Westernisasi (pembaratan) yang dilancarkan oleh orang Barat. 

Pembaratan atau dengan sebutan ‘Westernisasi’ ada disentuh oleh Syeikh Abdul Rahman Hassan Habannakah di dalam karyanya أجنحة المكر الثلالث dan lain-lain.

Westernisasi atau pembaratan bermaksud gerakan yang menyeru kepada kebangkitan berkonsepkan Barat sehingga mengakibatkan terjadinya proses urbanisasi, modenisasi dan sebagainya.

Westernisasi boleh diertikan sebagai projek penjajahan pemikiran. Iaitu, mengubah cara hidup orang Islam, kepada cara hidup Barat atas slogan kemodenan. 

Penjajahan pemikiran

Secara umumnya, projek pembaratan bertujuan membaratkan negara-negara lain. Sama ada dari sudut ilmu, budaya, akhlak, bahasa, pemikiran, dan lain-lain. Atau dengan kata lain, meleburkan prinsip yang ada dalam jiwa umat Islam. 

Pasca Perang Dunia Kedua menyaksikan agenda pembaratan masuk ke dalam negara-negara Islam yang dijajah. 

Budaya-budaya Barat dan cara pemikiran mereka ditanam dalam diri umat Islam. Undang-undang dan sistem berasaskan pemikiran Barat dikuatkuasakan sebagai salah satu bentuk penjajahan. 

Contohnya menormalisasikan arak, memisahkan Mahkamah Sivil dan Syariah, membezakan silibus pendidikan antara agama dan sains dan sebagainya.

Ideologi yang dipasarkan

Amerika dan bloknya, memasarkan liberalisme kapitalisme. Dalam dunia liberalisme, di sana ada fahaman hedonisme, dan utilitarianisme. Kedua-duanya terbakul di dalam liberalisme budaya.

Termasuk juga dari sudut moral. Mereka memperkenalkan moral cara mereka, yang terbina dari asas liberalisme. Istilah yang lebih khusus dalam perbincangan moral adalah ‘nilai murni’.

Dialog dan wacana Barat mengenai nilai murni memang tak habis. Sehingga kini, masih lagi belum betul-betul konkrit untuk menentukan mana satu nilai murni, mana satu nilai keji.

Nilai murni vs keji

Antara pemikir Barat terkenal yang mencorakkan istilah nilai murni atau keji ialah Machiavelli. Pemikiran beliau dalam bab ini, terkait dengan fahaman konsikuensialisme (Consequentialism).

Menurut beliau, nilai murni atau keji itu diukur berdasarkan hasilnya. Kalau sesuatu perbuatan itu menghasilkan kesan yang baik, maka ia adalah nilai murni. Begitulah sebaliknya.

Justeru, Dunia Barat sentiasa memperkenalkan produk-produk budaya mereka. Konsert, soft porn, percampuran lelaki perempuan tanpa batas, trend, pakaian dan sebagainya.

Produk-produk ini dipromosikan, dan dipasarkan. Pemasaran inilah yang menjadi modus operandi ‘westernisasi’ atau agenda pembaratan.

Filem ala Barat

Antara ‘hasil’ pasaran produk Barat, lahirlah filem-filem ala horror (konon) tetapi diselit adegan kelucahan. Apabila dipersoalkan, macam-macam alasan dilapik, untuk menormalisasikan perkara itu.

Mereka hanya mampu beralasan, dan tidak mampu berhujah. Sebab apa mereka tidak mampu berhujah secara konkrit untuk mempertahankan hal ini? 

Ini kerana, sepertimana yang saya katakan, mereka sendiri masih lagi belum betul-betul konkrit untuk menentukan mana nilai murni, mana nilai keji. Masih kabur.

Contohnya, dalam isu ‘kelucahan’, Feminisme masih bertembung sesama sendiri. Termasuklah aliran neo-liberalisme yang mempergunakan kelucahan untuk pasaran mereka.

Neo-liberalisme dan kelucahan

Dalam satu artikel ringkas mengenai neo-liberalisme dan kelucahan yang disiarkan oleh Lacanian Review Online menyatakan;

While sexuality has been considered, for example, a highly transgressive site for more than three decades, the democratization of the porno industry has turned it into a host of new markets. With neo-liberalism, it is libido itself, with its polymorphous perversity that is used to fuel new porno markets. Every sexual fantasy becomes a “niche” to create new products. [1]

Neo-liberalisme hakikatnya lebih tertumpu kepada ‘market’. Dengan kata lain, asalkan untung. Siapa lagi yang meraih untung dalam perkara ini kalau bukan si tauke atau penerbit filem?

Justeru, masing-masing perlu fikir, apa perlunya kita tiru Barat? Sampai adegan-adegan tak senonoh pun nak tiru Barat. 

Lambang kebodohan

Kita perlu sedar, perbincangan mengenai nilai murni tak mungkin dapat ditemui semata-mata dengan teori manusia. Manusia perlu sedar, otak mereka terbatas.

Ia terbatas dengan zamannya, dan kehidupannya. Tidak mampu menghasilkan formula yang benar benar sejagat sepanjang zaman, dan sesuai di semua tempat.

Budaya dan cara hidup yang diangkut dari Dunia Barat belum tentu sesuai dengan Timur. Apatah lagi mengangkut budaya-budaya yang tak senonoh, dan cara hidup yang meliar.

Semata-mata mengikut cara Barat tanpa panduan, hanyalah melambangkan sebuah kebodohan. Kalau tiru benda baik, oklah juga. Kalau benda tak senonoh pun nak ditiru, itulah yang dikatakan lambang kebodohan.

[1] https://www.thelacanianreviews.com/neoliberalism-pornography/ 

*Gambar sekadar hiasan 

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 24/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -