PAS kutuk tindakan bakar al-Quran di Stockholm

- Advertisement -

PAS melihat agenda Islamofobia serta perbuatan membakar al-Quran oleh politikus ekstrem sayap kanan Denmark-Sweden, Rasmus Paludan di depan kedutaan Turkiye di Stockholm, Sabtu lepas, sebagai tindakan melampau dan terdesak kumpulan terpencil untuk mendapatkan perhatian semata-mata.

Justeru sewajar tindakan itu dikutuk dan dikecam bukan sahaja oleh negara umat Islam malah seluruh masyarakat dunia yang bertamadun serta inginkan keamanan dan keharmonian.  

Berdasarkan rekod pencapaian parti pimpinannya, Stram Kurs, dalam Pilihan Raya Sweden serta berbelas-belas pendakwaan jenayah yang dihadapi beliau secara peribadi jelas menunjukkan pelaku tersebut hanyalah seorang pengacau yang tidak berupaya menyumbangkan apa-apa yang bermakna kepada masyarakat manusia  dan Sweden khususnya.

Naratif anti-migrasi dan anti-Islam yang dibawanya hanyalah alat mudah untuk memacu kerjaya politiknya yang tidak pernah pun berkembang sehingga kini.

Beliau hanya mengambil kesempatan atas dasar terbuka dan kebebasan bersuara untuk menyebarkan ekstremisme dan rasisme.  

Penggunaan hujah kebebasan bersuara untuk menghina agama dan kepercayaan orang lain adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab mahupun terpuji. 

Islam amat tegas dalam hal ini termasuk menyekat umatnya bertindak menghina agama dan kepercayaan orang lain.

PAS percaya masyarakat Sweden tidak akan menerima dasar dan sikap seperti itu.

Malah PAS yakin, rakyat Sweden akan mendapati bahawa falsafah ‘lagom‘ dalam budaya mereka sangat selari dengan konsep ‘syukur’ dan ‘umat wasatan’ yang dibawa oleh Islam itu sendiri dan berguna untuk terus membina sebuah negara yang sederhana serta harmoni dengan sumbangan umat Islam yang berhijrah ke sana.  

Justeru PAS berharap kerajaan negara tersebut mengambil tindakan tegas terhadap pelaku berkenaan sebagai langkah kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan gejala seumpamanya berleluasa malah dibimbangi akan menjemput reaksi dan tindak balas yang memburukkan lagi keadaan.

Apa-apa yang baik dan berguna akan kekal, sementara daki serta sisa akan terhapus juga. 

Dalam hal ini politik serta naratif kebencian dan melampau yang dibawa oleh Paludan adalah termasuk dalam kategori daki dan sisa.

Ia akan terhapus dengan sendirinya. 

TAKIYUDDIN HASSAN 
Setiausaha Agung PAS
24 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 24/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -