Kebakaran musnahkan puluhan rumah di Korea Selatan

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran di Guryong, selatan Seoul
- Advertisement -

SEOUL: Kira-kira 500 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka selepas kebakaran merebak di kawasan kejiranan berpendapatan rendah di selatan bandar raya ini yang memusnahkan sekurang-kurangnya 60 rumah, pagi ini.

- Advertisement -

Pegawai kerajaan tempatan memberitahu bahawa anggota bomba mengawal kebakaran di Guryong dan setakat ini, tiada laporan mengenai kecederaan atau kematian.

Pegawai Jabatan Bomba Daerah Gangnam di sini, Shin Yong-ho, berkata pekerja penyelamat meneruskan kerja mencari di kawasan yang terjejas oleh kebakaran itu, tetapi dipercayai semua penduduk di situ selamat dipindahkan.

Lebih 800 anggota bomba, pegawai polis dan pekerja awam dikerahkan untuk memadamkan api serta mengendalikan pemindahan penduduk selepas kebakaran berlaku sekitar 6:30 pagi.

Gambar dari tempat kejadian menunjukkan anggota bomba memadamkan api dengan asap putih tebal menyelubungi kawasan yang terkenal dengan deretan padat rumah ketika helikopter menyembur air dari atas.

Shin berkata, punca kebakaran sedang disiasat, tetapi dipercayai bermula dari sebuah rumah yang diperbuat daripada kepingan plastik dan papan lapis.

Pegawai di Pejabat Daerah Gangnam, Kim Ah-reum pula berkata, kira-kira 500 penduduk dipindahkan ke kemudahan berhampiran, termasuk gim sekolah.

Katanya, pihak berkuasa merancang memindahkan penduduk terbabit ke hotel berdekatan. – AP

- Advertisement -