Manchester City jana pendapatan tertinggi dunia

Manchester City yang menjana pendapatan tertinggi dunia adalah milik Abu Dhabi
- Advertisement -

Manchester City mengungguli Deloitte Football Money League untuk tahun kedua berturut-turut sebagai kelab yang menjana pendapatan tertinggi di dunia pada musim 2021-22 ketika peminat kembali ke stadium selepas sekatan Covid-19 dilonggarkan.

- Advertisement -

Kelab milik Abu Dhabi itu menjana jumlah pendapatan sebanyak 731 juta Euro (AS$790.65 juta), diikuti Real Madrid (714 juta Euro) dan Liverpool (702 juta Euro).

Saingan City, Manchester United menjana 689 juta Euro dan Paris St Germain (PSG) memperoleh 654 juta Euro.

Chelsea, Tottenham Hotspur, Arsenal, West Ham United, Leicester City, Leeds United, Everton dan Newcastle United turut berada dalam senarai dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) menguasai 11 daripada 20 kelab teratas.

“EPL adalah satu-satunya liga daripada lima liga utama Eropah yang mencatatkan peningkatan dalam nilai hak media ketika proses penjualan hak terbaharu,” kata rakan kongsi utama Kumpulan Perniagaan Sukan Deloitte, Tim Bridge.

“Liga di England terus menarik minat berjuta-juta pengikut global dan kelab mempunyai kelebihan pendapatan yang lebih besar berbanding pesaing antarabangsa.”

City mencatatkan rekod pendapatan komersial EPL sebanyak 373 juta Euro pada 2021-22, pertumbuhan sebanyak 65 juta Euro daripada musim sebelumnya.

Liverpool adalah kelab yang mencatatkan peningkatan ketara tahun ini apabila meningkat empat anak tangga daripada ketujuh kepada ketiga untuk mencapai kedudukan tertinggi mereka.

Kelab Merseyside mengatasi Manchester United dalam ranking buat kali pertama, berikutan kemaraan ke final Liga Juara-Juara 2022 yang menjana pendapatan penyiaran tambahan.

Liverpool juga adalah satu daripada lima kelab yang melaporkan lebih 100 juta Euro dalam pendapatan hari perlawanan, iaitu kali pertama kelab itu berbuat demikian.

Dalam kalangan pasukan La Liga, Barcelona dan Real Madrid, masih belum dapat mencapai pendapatan ke tahap pra-pandemik dengan pendapatan kelab masing-masing turun 203 juta Euro dan 43 juta Euro berbanding musim 2018-19.

Buat kali pertama, Deloitte’s Football Money League, melaporkan pendapatan yang dijana daripada pasukan wanita dengan purata pendapatan sebanyak 2.4 juta Euro pada musim 2021-22.

Barcelona menjana pendapatan tertinggi, iaitu 7.7 juta Euro setelah mara ke final Liga Juara-Juara pada 2022 dan memenangi pertandingan itu pada 2021.

Manchester United melaporkan pendapatan kedua tertinggi dengan 6 juta Euro, diikuti oleh Manchester City (5.1 juta Euro), PSG (3.6 juta Euro), Arsenal (2.2 juta Euro) dan Spurs (2.1 juta Euro). – REUTERS

- Advertisement -