Umno: Rakyat tolak, DAP tolak, MUDA tolak

- Advertisement -

SELEPAS Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini semakin jelas bahawa DNA Umno dan DAP serta rakan-rakan parti dalam komponen PH yang lain tidak mungkin akan bersama apatah lagi bekerjasama bagi tujuan mewujudkan ‘grand coalition‘ yang kukuh dan stabil untuk mentadbir negara ini.

- Advertisement -

Kerjasama DAP-Umno hakikatnya ibarat syair dan lagu tanpa irama. Tujuan penubuhan, ideologi, pemimpin dan jentera akar umbi mereka akan senantiasa bertentangan antara satu sama lain dulu, kini dan selamanya.

Umno kini berada di persimpangan hala tuju perjuangan mereka apabila mengalami kekalahan teruk dalam sepanjang sejarah penubuhan parti mereka dalam PRU15 yang lalu. Namun, kebebalan Presiden Umno yang dengan jayanya merealisasikan pelan ‘melemahkan’ Umno agar kerjasama dengan DS Anwar Ibrahim (PH) dapat dirasionalisasikan pasca PRU15 yang lalu membuatkan Presiden Umno yang tidak bermaruah itu masih memegang tampuk pentadbiran Umno meskipun selepas kekalahan besar yang mengaibkan tersebut.

Lebih menarik lagi apabila DAP yang dikatakan telah memaafkan serta meredai perjuangan nasionalisme Umno kini melalui Dr P Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II menyatakan bahawa Zahid Hamidi adalah ‘beban’ kepada parti Umno dan Pakatan Harapan.

Selain itu, Setiausaha Agung Parti MUDA yang bekerjasama dengan PH dalam PRU15 yang lalu dengan tegasnya mendakwa bahawa Presiden Umno itu seolah-olah menggambarkan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, dibuat secara terpilih adalah tidak wajar, tidak bertanggungjawab, dan tidak munasabah.

Ke manakah hala tuju Presiden Umno ketika ini? Adakah hanya akan berselindung di sebalik bayang-bayang Anwar dan dasar pseudo-madani-nya yang semakin dilihat tidak relevan kerana bertentangan dengan pelaksanaan dasar yang yang sebenar atau bakal terhapus dengan sendirinya akibat daripada kebangkitan kuasa Jiwa Melayu yang ditindas selama ini. Apa khabar Wak Jahid!

ABD RAHMAN FAUDZI
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor 
19 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 19/1/2023

- Advertisement -