Filem Pulau: Ditapis semula atau dibatalkan tayangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyeru semua pihak agar menjauhi filem Pulau serta memulaukannya.

- Advertisement -

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, ini kerana lebih banyak mudarat berbanding kebaikan yang diperolehi daripada menontonnya.

Menurutnya, menerusi trailer filem yang bakal ditayangkan pada 9 Mac nanti dan berdasarkan adegan yang dipaparkan, ia sangat keterlaluan dan bertentangan dengan nilai dan budaya masyarakat Malaysia yang sopan, apatah lagi sangat bertentangan dengan ajaran agama Islam.

“Banyak memaparkan adegan yang menjolok mata, ala ‘soft porn’ dan memaparkan nilai budaya kebaratan dan tidak sesuai untuk dipaparkan kepada golongan anak muda di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, katanya UMMAH menyeru pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysian (Jakim) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengkaji dan mengesyorkan kepada kerajaan agar filem itu ditapis semula atau dibatalkan tayangan kepada umum.

Tambahnya, bulan Mac nanti adalah bulan di mana umat Islam bakal akan menyambut Ramadan bagi melaksanakan ibadah puasa.

Justeru, kata beliau amat tidak sesuai filem sebegini dipromosikan sempena Ramadan.

“Jika ditapis dan tiada babak yang melampaui batas elok jika sekiranya ditayangkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” ujarnya.

Beliau berharap pengusaha filem dapat menerbitkan filem-filem yang membangunkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang tinggi dengan adab ketimurannya, berbilang kaum dan agama serta menjaga batas-batas sensitiviti agama Islam dinegara ini yang majoritinya beragama Islam.

“Kepada ummat Islam pula jika filem sebegini ditayangkan, maka sewajarnya kita menyeru kepada semua pihak agar bertindak menjauhinya serta memulaukannya kerana lebih banyak mudarat berbanding kebaikan yang diperolehi daripada menontonnya,” katanya lagi.

Menurutnya, kesan filem itu adalah bertentangan dengan nilai dan budaya serta agama Islam masyarakat umat Islam di negara ini. – HARAKAHDAILY 19/1/2023

- Advertisement -