Kerajaan wajib kawal ketertiban dalam industri perfileman

- Advertisement -

INDUSRI filem negara ini semakin berwarna warni dengan kehadiran pelbagai filem yang memilih Malaysia sebagai latar cerita, menonjolkan sejarah, cara hidup malah membantu mempromosi negara ini kepada pelancong luar negara dan domestik. Tahun 2022 contohnya filem “Mat Kilau” yang telah berjaya memungut ratusan juta ringgit termasuk mampu ditayangkan di negara jiran kita. Filem epik-bio setaraf filem antarabangsa yang lain, memecahkan kesenduan filem dengan naratif Melayu Islam.

- Advertisement -

Dalam keterujaan ini dijangka filem “Duan: Nagobogho” hasil seni Sabri Yunus dijangka menjadi buah mulut peminat seni tanah air. Dengan latar budaya Kelantan, bahkan parokialisme orang Kelantan dengan karektornya yang tersendiri. Sabri Yunus pernah menghasilkan karya “Pok Ya Concodei” yang pernah menjadi fenomenal. Terkini masyarakat mula bising-bising dengan trailer filem murahan “Pulau” yang mengkesampingkan aspek maruah wanita, mengetengahkan unsur seks bebas, budaya seronok santai (sensate culture) yang meniru gaya filem Barat. Pelakon-pelakon filem ini dengan gaya bohemian pastilah menikam adab dan budaya tempatan, mewajarkan normalisasi dosa kepada anak-anak muda.

Industri perfileman mestilah selari dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang prinsip pertamanya berkaitan teras budaya Melayu di rantau ini sebagai tunggak utama termasuk bahasa. Filem-filem berkiblatkan cara hidup lepas bebas akan merosakkan citra Dasar Kebudayaan Kebangsaan, memijak maruah wanita dan mencetak pemikiran hedonisme.

Sebagai meraikan unsur-unsur budaya lain yang juga menjadi jatidiri kaum-kaum bukan Melayu, penggunaan bahasa ibunda mereka dalam babak-babak perbualan antara kaum-kaum bukan Melayu dalam filem tersebut boleh diterima, tetapi bukan menggunakan bahasa asing. Perkara ini adalah semangat dari prinsip kedua Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Perlu ditekankan juga, industri perfileman perlu memberi perhatian terhadap prinsip ketiga iaitu kehidupan beragama masyarakat Malaysia dalam filem-filem mereka, bukannya mengambil cara hidup dan adat resam Barat. Kerajaan di bawah Dato’ Seri Anwar Ibrahim wajib mengambil tanggungjawab mengekang filem-filem sampah yang merosakkan anak-anak muda negara ini.

Industri perfileman memainkan peranan penting untuk mencorakkan pemikiran rakyat dan generasi muda, sebab itulah kelompok zionis berusaha menawan dunia pembuatan filem Hollywood. Filem bukan sekadar bahan hiburan kosong, disela imej, audio visual itu terselit mesin propaganda yang ingin disampaikan oleh penerbit filem. Negara ini mempunyai dasar yang longgar terhadap penggunaan bahasa rasmi negara dalam filem walaupun secara asasnya kita mempunyai Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Filem tempatan negara ini menggunakan bahasa pasar yang sangat hodoh seperti kebanyakan “filem sampah” yang tersenarai di papan utama industri filem.

Sewajarnya, filem bersalut budaya hidup lepas bebas masyarakat Barat, juga elemen penggunaan bahasa jelek, hodoh dan cacamarba perlu dielakkan demi menjamin kelestarian bahasa Melayu, apatah lagi generasi muda yang masih mentah memindahkan pertuturan dalam filem kedalam realiti kehidupan yang sebenar. Jika kita sedar, kebanyakan negara-negara Asean mengalih bahasa drama dan filem asing kedalam acuan bahasa mereka sendiri. Ianya mengukuhkan jati diri sesebuah negara dan menyubur semangat patriotik ke dalam jiwa rakyat.

Dr Riduan Mohamad Nor

Pihak kerajaan PHBN melalui Finas sewajarnya memainkan peranan yang proaktif dalam memantau polisi dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dipatuhi dan mengembangkan nilai tempatan yang munasabah dalam filem berwajah Malaysia. Filem kita adalah cermin ketamadunan kita! – HARAKAHDAILY 18/1/2023

Penulis ialah Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat.

- Advertisement -