Gelombang PRU15 bantu PN hadapi PRN Selangor

Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LANGAT: PAS menganggap gelombang yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 November lepas masih berterusan sehingga sekarang.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, momentum itu masih lagi berterusan berdasar perkembangan semasa yang berlaku sekarang.

“Saya jangka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, kalau momentum tersebut masih berterusan ia akan memberi impak yang lebih besar di Selangor.

“Jadi kita berterusan menggunakan media sosial sebagai platform bagi menyebarkan maklumat kepada pengundi. Tik Tok sebagai satu wadah yang cukup besar.

“Ia dilihat mampu mempengaruhi golongan muda. Ini kita tidak nafikan.
Sumbangan anak-anak muda memberi sokongan kepada PAS atau PERIKATAN NASIONAL (PN),” katanya di sini.

Menurutnya juga golongan mahasiswa turut terlibat menghasilkan Tik Tok mereka sendiri, di samping menyebarluaskan maklumat yang diolah PAS dan PN.

Katanya hasil gemblengan tenaga banyak pihak berjaya mencetus gelombang biarpun pada peringkat awal ia di luar jangka.

Lebih-lebih lagi kata beliau berdasar pengalaman PRN di Melaka dan Johor, belum kelihatan sambutan hebat terhadap PN.

“Bagaimanapun dengan strategi PN dengan meletakkan tagline Bersih dan Stabil dilihat menjadi tarikan pengundi terutamanya generasi muda.

“Bersih dalam erti kata kita mahu mewujudkan kerajaan yang bersih tidak terlibat dengan sebarang penyelewengan. Kita hendak memperkasakan integriti.

“Kita menolak unsur-unsur rasuah dan salahguna kuasa. Kita membawa gelombang mahu kerajaan yang stabil,” ujarnya.

Dr Ahmad Yunus yang juga ahli parlimen Kuala Langat berkata, pada PRU14 PAS sudah memanfaatkan media sosial termasuk Facebook, namun ia dicatas pihak lawan.

Menurutnya berdasar kepada pengalaman PRU14 PAS memanfaatkan sepenuhnya media sosial dengan dibantu golongan muda sehingga ia berjaya mencetus gelombang.

Sementara itu menurut pemerhati politik BN berdepan laluan sukar di Selangor memandangkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) sudah membayangkan tidak memberi laluan mudah kepada Umno.

Amaran itu disuarakan Amanah dan DAP yang tetap mahu mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU lepas.

DUN Selangor sekarang mempunyai Adun dari PKR (19), DAP (15), Amanah (6), BN (5), Bersatu (4), Parti Bangsa Malaysia (2) Pejuang (2), PAS (1), Warisan (1) dan Bebas (1). – HARAKAHDAILY 18/1/2023

- Advertisement -