Semua pihak bertanggungjawab lindungi badan kehakiman negara

- Advertisement -

SAYA menekuni pendedahan yang dibangkitkan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun baru-baru ini mengenai ancaman bunuh yang diterima beliau ketika mengendalikan kes-kes berprofil tinggi. 

- Advertisement -

Sewajarnya perkara sebegini tidak berbangkit kerana kita semua berpegang kepada prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang termaktub dalam Rukun Negara. 

Tekanan yang diterima institusi kehakiman negara kelihatan memuncak ketika prosiding kes berprofil tinggi melibatkan bekas pemimpin nombor satu negara tahun lalu. Perkembangan itu turut memaksa campur tangan pihak PDRM untuk menyiasat kewujudan elemen ancaman dan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara. 

Saya berpandangan sewajarnya semua pihak melindungi keutuhan dan profesionalisme institusi kehakiman negara khususnya bagi mengendalikan kes-kes berprofil tinggi. Langkah menceroboh sempadan badan kehakiman perlulah ditangani dengan tegas bagi memastikan badan penting ini dapat menjalankan tugasnya dengan bebas tanpa sebarang campur tangan. 

Dalam Islam, seseorang hakim perlu bebas sepenuhnya mengeluarkan ijtihad atau keputusannya sebagaimana pesanan Saidina Umar al-Khattab R.A. kepada Abu Musa Al-Ashaari. Cukuplah pakaian taqwa dan peringatan tegas Islam menjadi pendinding teguh kepada para hakim dalam membuat penghakimannya. 

Nabi S.A.W bersabda daripada Sunan Abu Daud yang bermaksud;

“Barangsiapa menjadi hakim, maka sebenarnya dia telah disembelih tanpa pisau.”

Tambahan lagi, ancaman bunuh yang diterima para hakim ini wajar diteliti secara serius oleh pihak PDRM. Ketaksuban sesetengah pihak terhadap pemimpinnya boleh mendorong kepada sebarang tindakan luar jangka yang perlu dibanteras dengan pantas. 

Sekian, terima kasih.

YB UST. DATO’ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
19 Jamadilakhir 1444 Hijri | 12 Januari 2023 Miladi – HARAKAHDAILY 12/1/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!