Tuan Ibrahim ketuai kunjungan hormat ke pejabat MB Perlis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai kepimpinan utama parti mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, petang semalam.

- Advertisement -

Turut serta ialah Naib-naib Presiden, Ustaz Datuk Idris Ahmad dan Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu, Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Ketua Pengarah Pilihan raya yang juga Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata dalam pertemuan itu banyak perkara yang dibincangkan dan dikongsikan sahabat-sahabat seperjuangan terutamanya mengenai perjalanan pentadbiran Negeri Perlis selepas memegang tampuk pemerintahan.

“Kami yakin Negeri Perlis bakal menjadi sebuah negeri yang berdaya saing dari segi ekonomi, sektor pelancongan yang menawarkan tempat-tempat yang menarik,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.

Di samping itu, tambahnya kebajikan rakyat Perlis akan terus terpelihara, aman dan sejahtera di bawah pentadbiran baharu itu.

Mohd Shukri pula melahirkan kesyukuran dengan kunjungan hormat tersebut.

Beliau berkata, intipati pertemuan adalah berkisar mengenai perjalanan pentadbiran Negeri Perlis selepas memegang tampuk pemerintahan.

“Pertemuan selama dua jam terasa sangat singkat kerana banyak input, nasihat, ilmu yang diberikan sepanjang pertemuan dan dapat saya jadikan panduan,” tambahnya menerusi Facebook.

Beliau berharap semoga perbincangan sebegitu dapat menambah baik pentadbiran sedia ada.

“Saya bersyukur dikelilingi insan yang baik dan banyak membantu perjalanan hidup dan politik saya khususnya. Alhamdulillah,” ujarnya yang juga Adun Sanglang. – HARAKAHDAILY 4/1/2023

- Advertisement -