‘Dia tampar seolah-olah perkara itu biasa’

Salamiah Mohd Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Salamiah Md Nor memandang serius tindakan jurulatih bola tampar wanita Melaka bawah 14 tahun (B-14) yang menampar dua pemain perempuan pada satu kejohanan, baru-baru ini.

- Advertisement -

Susulan tindakan itu, beliau mencadangkan supaya jurulatih wanita perlu untuk semua sukan yang melibatkan wanita.

Katanya, Islam tidak melarang umatnya untuk menjalankan aktiviti bersukan tetapi ia perlu berlandaskan syariat yang digariskan.

Sehubungan itu, tegas beliau, semua acara sukan yang melibatkan kaum wanita mesti diletakkan syarat jurulatih itu mesti wanita.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh mengecam tindakan jurulatih lelaki itu yang bersikap tidak berprofesional.

“Kita bila mendengar dan membaca berita yang yang diviralkan ini, kita terkejut kerana pada zaman ini ada lagi sikap yang macam ini.

“Satu memang melampau dan tidak wajar jurulatih lelaki menampar pemain wanita yang tidak sepatutnya, tetapi kemungkinan juga ia menjadi perkara biasa yang sudah dilakukan oleh jurulatih itu tanpa rasa bersalah, segan dan tidak merasa apapun.

“Dia tampar seolah-olah perkara itu biasa dilakukan cuma mungkin sebelum ini ia tertutup.

“Tidak seharusnya beliau berkeras sehingga sebegitu kepada wanita terutama di hadapan orang ramai,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, tamparan boleh menyebabkan kecederaan bahagian muka yang bakal memberikan kesan mendalam kepada psikologi pemain terbabait biarpun tidak menyebabkan kecederaan serius.

“Sekiranya mana-mana pihak memberikan alasan perkara biasa namun ia merupakan suatu masalah besar dalam kejurulatihan kerana melibatkan tindakan fizikal.

“Ia harus dihentikan demi membina masyarakat yang lebih sihat mentalnya,” katanya.

Beliau berkata, disiplin bukan sahaja diterapkan kepada pelajar termasuk juga jurulatih.

Justeru, ujarnya Dewan Muslimat PAS Malaysia menggesa suatu tindakan tegas diambil kepada mana-mana jurulatih tidak kira lelaki mahupun wanita yang tidak menghormati pemain. – HARAKAHDAILY 4/1/2023

- Advertisement -