Banjir: Sektor pertanian Terengganu rugi hampir RM50 juta

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sektor pertanian Terengganu mengalami kerugian sebanyak RM48.7 juta akibat banjir besar yang melanda negeri itu pada 18 Dis lepas.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata kerugian itu adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun selepas kali terakhir pada Februari 2022, iaitu sekitar RM2 juta.

Beliau berkata bagaimanapun angka tersebut dijangka boleh bertambah memandangkan pihak Jawatankuasa Tabung Bencana Pertanian Terengganu masih dalam tempoh mengumpul serta mengemas kini data untuk dilengkapkan hingga 15 Jan ini.

“Data yang kita terima setakat hari ini menunjukkan jumlah kerugian paling besar dicatat oleh subsektor pertanian iaitu RM39.2 juta yang melibatkan 2,555 petani.

“Bagi subsektor penternakan pula, kerugian dicatatkan adalah RM3.4 juta melibatkan seramai 781 penternak manakala bagi subsektor perikanan, sebanyak RM6.1 juta kerugian direkodkan membabitkan 360 penternak akuakultur dan nelayan,” katanya selepas menyampaikan amanat sektor pertanian negeri di sini hari ini

Menurut Dr Azman, Jawatankuasa Bencana Pertanian Terengganu akan bermesyuarat pada awal Februari depan bagi meneliti bantuan yang akan disalurkan kepada semua warga tani termasuk penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir.

Beliau berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bajet tambahan bagi Tabung Bencana Pertanian Terengganu memandangkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi 2022 dilihat tidak memadai serta mencukupi untuk menampung jumlah warga tani yang terkesan.

“Banjir luar jangka kali ini menyebabkan kerugian besar kerana ia meliputi semua sektor seperti penternakan, perikanan dan pertanian di lapan daerah di negeri ini.

“Kerajaan negeri sudah beri persetujuan untuk tambahan dana dalam Tabung Bencana Pertanian Terengganu, cuma belum dinyatakan jumlah tetapi kita akan mohon bajet ikut keperluan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -