Covid-19: PKDKP nafi perebakan kes di Kuala Pilah

- Advertisement -

SEREMBAN: Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah (PKDKP) menafikan berlaku perebakan kes Covid-19 di kawasan Pasir Ambor dan Juasseh, Kuala Pilah dekat sini seperti yang tular melalui aplikasi WhatsApp sehingga menimbulkan kerisauan orang ramai hari ini.

- Advertisement -

PKDKP dalam kenyataan hari ini mengesahkan terdapat satu kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID) di kawasan berkenaan, namun tiada sebarang perebakan dalam kalangan kontak rapat dan penduduk dikesan di kawasan sekitar.

“Pengurusan jenazah kes Covid-19 dilaksanakan mengikut tatacara terkini iaitu pihak PKD, membenarkan waris bersama-sama menguruskan jenazah. Kami sentiasa komited dalam memastikan penularan Covid-19 dapat dibendung dan dipantau dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut semua kontak rapat yang didapati tidak bergejala dan berstatus negatif Covid-19, tetap diberikan pendidikan kesihatan.

Justeru PKDKP meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga menganggu ketenteraman awam, selain menyeru masyarakat mendapatkan dos penggalak kedua di fasiliti kesihatan terdekat bagi mengurangkan risiko komplikasi dan kemudaratan apabila dijangkiti Covid-19.

Terdahulu, tular mesej di aplikasi WhatsApp antaranya melarang orang ramai pergi ke kawasan Pasir Ambor dan Juasseh kerana wabak Covid-19 merebak di kawasan itu susulan kematian seorang lelaki berusia lingkungan 40-an. – BERNAMA

- Advertisement -