Bersatu hasil cadangan alternatif kurang beban rakyat

Datuk Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bersatu mengakui kemenangan besar Bersatu dan PERIKATAN NASIONAL (PN) pada pilihan raya umum (PRU) lepas hasil sokongan padu generasi baharu politik negara.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Bersatu Malaysia Dato’ Wan Saiful Wan Jan berkata, pendaftaran pengundi secara automatik menghasilkan jutaan pengundi baharu.

Katanya mereka bukan dari golongan muda sahaja, namun melibatkan pelbagai lapisan usia.

“Generasi baharu menolak rasuah, menolak politik wang dan menolak politik menipu demi kuasa. Sebaliknya mereka mahu budaya politik baru yang bersih dan budaya prihatin kepada nasib rakyat.

“Generasi baharu mahu peluang dan platform untuk mereka turut mendekati dan membantu rakyat,” katanya pada kenyataan di sini.

Oleh itu katanya Bersatu menyahut keinginan generasi baharu dan menerima mereka dengan tangan terbuka bagi membolehkan memainkan peranan dalam parti terbabit.

Menurutnya generasi baharu wajar dilantik mengisi jawatan yang sesuai dalam parti untuk membantu mereka berperanan membasmi budaya tidak sihat dalam masyarakat.

Ini kerana kata beliau Bersatu ada amanah penting yang wajib ditunaikan sebagai alternatif untuk negara.

“Kita mesti berani membuat pilihan yang betul walaupun sukar demi kebaikan jangka panjang untuk parti.

“Semoga kita sentiasa dalam keadaan sihat, diberkati, dimurahkan rezeki dan tabah menghadapi segala cabaran mendatang,” ujarnya.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, Bersatu mampu menghasilkan cadangan dasar-dasar alternatif yang berkualiti untuk mengurangkan bebanan rakyat.

Di samping itu kata beliau mengenal pasti kelemahan kerajaan yang perlu diperbaiki.

“Di Britain pembangkang dipanggil His Majesty’s Most Loyal Opposition. Dalam konteks Malaysia menjadi tanggungjawab pembangkang untuk tidak bersetuju dengan kerajaan dan mencari idea-idea alternatif,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 2/1/2023

- Advertisement -