Jalan rosak tular bukan di Hulu Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerosakan jalan yang tular di media sosial berikutan bencana banjir minggu lepas sebenarnya bukan di Hulu Terengganu tetapi jajahan Gua Musang.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata jalan tersebut telah ditutup sejak tahun lepas.

“Jalan Aring-Kenyir telah ditutup pada tahun lepas bagi pembinaan jambatan di Section 52 sehingga siap pada 2023.

“Disebabkan banjir yang melanda pada minggu lepas terdapat kerosakan berlaku di Section 103 dan 78, ia berada dalam pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tindakan pembaikan daripada konsesi terlibat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang turut menjelaskan bahawa lokasi kejadian mendapan jalan tersebut adalah dalam kawasan projek Menyiapkan Jalanraya Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang-Kuala Berang Pakej 6A; Aring ke sempadan Kelantan-Terengganu.

“Laluan tersebut masih belum dibuka untuk laluan awam dan bukan laluan utama dari Aring-Kuala Berang.

“Pembaikan sementara juga telah dilakukan bagi membolehkan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak Perhilitan menghantar bekalan makanan gajah,” tambahnya.

Terdahulu, banjir besar yang melanda negeri ini telah mengakibatkan beberapa jalan utama rosak dan runtuhan tanah berlaku. – TRDI.my

- Advertisement -