85 atlet cemerlang Perlis terima insentif

Foto daripada Facebook Pejabat SUK Perlis.
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Perlis hari ini menyerahkan insentif kemenangan sukan kepada 85 penerima atas kejayaan cemerlang memperoleh pingat di dua temasya sukan dalam negara dan dua temasya antarabangsa.

- Advertisement -

Exco Belia dan Sukan negeri Muhammad Azmir Azizan berkata insentif berjumlah RM224,500 diberikan kepada atlet yang memperoleh pingat, jurulatih dan penyelaras sukan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 dan Sukan Para SUKMA 2022 yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.

“Kejayaan ini adalah dorongan hasil usaha penat lelah semua pihak yang terlibat dalam mengharumkan nama negeri ini di persada tanah air dan meletakkan sasaran untuk memperoleh 20 pingat pada temasya berikutnya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan insentif berkenaan pada satu majlis yang diadakan di sini hari ini.

Pada SUKMA edisi ke-20, kontinjen Perlis berjaya membawa pulang 23 pingat yang disumbangkan menerusi sukan olahraga, angkat berat, pencak silat, boling padang, kanu, sepak takraw, tinju, pelayaran dan muay Thai.

Bagi Para SUKMA 2022, 15 pingat disumbangkan menerusi tiga jenis sukan iaitu olahraga, angkat berat (powerlifting) dan tenpin boling.

Pada majlis itu juga, pemenang pingat emas pada temasya Sukan Para ASEAN ke-11 Solo, Indonesia 2022 bagi acara lompat jauh F20 Datuk Abdul Latif Romly turut diberikan insentif berjumlah RM3,000 yang diterima oleh ayahnya, Romly Mat.

Selain itu insentif kemenangan berjumlah RM5,000 turut disampaikan kepada Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman yang berjaya memenangi pingat perak menerusi sukan boling padang bagi acara ‘triples wanita’ pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 edisi ke-22. – BERNAMA

- Advertisement -