Muzium Kota Kayang terima 60,000 pengunjung

Siti Munirah Kasim
- Advertisement -

KANGAR: Muzium Kota Kayang berjaya mencapai sasaran dengan menerima kehadiran 60,000 pengunjung sepanjang tahun 2022.

- Advertisement -

Pengarahnya, Siti Munirah Kasim berkata, untuk bulan Disember sahaja, muzium menerima kehadiran tetamu hampir 200 hingga 300 pengunjung sehari.

“Musim cuti sekolah macam sekarang ini memang ramai yang datang, terutamanya orang luar kerana Perlis mempunyai satu sahaja muzium dan kita juga tidak mengenakan sebarang bayaran untuk memasuki kawasan muzium.

“Alhamdulillah kita sudah menaik taraf beberapa kemudahan menerusi sumbangan dari Kementerian Pelancongan Malaysia, orang ramai pun semakin seronok untuk hadir ke sini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Menurut Munirah lagi, Muzium Kota Kayang mempunyai enam galeri antaranya Galeri Sejarah, Arkeologi, Senjata, Kebudayaan, Menteri Besar dan Diraja.

“Galeri Sejarah menceritakan sejarah negeri Perlis manakal Galeri Arkeologi pula mempamerkan hasil penyelidikan Kota Kayang, penemuan arkeologi pada zaman protosejarah dan prasejarah di Perlis.

“Galeri Senjata pula mempamerkan kepelbagaian koleksi senjata sementara Galeri Kebudayaan pula menceritakan aspek berkaitan kebudayaan di sekitar negeri Perlis,” katanya lagi.

Galeri Menteri Besar pula menampilkan pelbagai koleksi yang pernah diterima oleh para Menteri Besar Perlis serta Galeri Diraja pula mempamerkan salasilah diraja negeri Perlis bermula dari Nabi Muhammad SAW dan replika bunga emas, kesan pendudukan penjajah serta pelbagai koleksi menarik.

Ujarnya, Muzium Kota Kayang mampu melonjak jauh lagi sesuai dengan fungsi muzium itu sendiri.

“Sebenarnya muzium ini sebagai salah satu warisan kita, jika kita pergi ke mana-mana negara sekalipun tempat pertama yang perlu kita lawati ialah muzium.

“Sebab jika kita mahu tahu sejarah tentang tempat tersebut, kita tengok menerusi muzium di tempat tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, landskap Muzium Kota Kayang yang berada di kawasan hutan semulajadi menjadikan orang ramai lebih tertarik untuk datang.

“Kedudukan muzium dikelilingi dengan alam semulajadi, jadi pandangan pertama kebanyakan pengunjung yang datang ialah cantiknya pemandangan di sini.

“Pekerja di sini pun kebanyakannya orang tempatan, jadi mereka lebih tahu tempat yang sesuai untuk tanam pokok bagi mengindahkan lagi kawasan sekitar,” ujarnya lagi.

Muzium Kota Kayang dibuka setiap hari kecuali hari Isnin pertama setiap bulan bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. – HARAKAHDAILY 27/12/2022

- Advertisement -