Menilai sisi keutamaan dalam agama

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyambut baik teguran yang disampaikan oleh Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS dalam kenyataan terbaru beliau mengenai kelompok yang terlepas menunaikan tanggungjawab mengundi disebabkan ibadah umrah.

- Advertisement -

DUPP ingin menjelaskan bahawa beruntungnya kita berada dalam masyarakat yang masih dipimpin dan dibimbing oleh para alim ulama yang mursyid.

Teguran Tan Sri Tuan Guru Presiden mengambil tanggungjawab yang besar menyampaikan pandangan berdasarkan sisi keutamaan dalam konteks agama.

Ia berdasarkan kepada suluhan ilmu yang jelas dan tidak terikut-ikut dengan nilai sentimen semata-mata.

Almarhum Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi juga pernah menulis tintanya dalam buku Fiqh Keutamaan bahawa tiada lagi keutamaan bagi seseorang menunaikan umrah berkali-kali sedangkan di sana masih ramai masyarakat Muslim yang fakir miskin dan memerlukan bantuan.

Apatah lagi dalam keadaan negara-negara umat Islam masih berhadapan dengan peperangan dan ada sebahagiannya memerlukan dana yang besar untuk pembangunan ummah sejagat.

Hakikatnya, perkara ini bersangkut paut dengan kefahaman terhadap mempertimbang dan menentukan keutamaan dalam setiap tindak tanduk umat Islam.

Atas prinsip yang sama, keperluan menunaikan tanggungjawab mengundi juga besar dalam negara. Keutamaan ini dicerap daripada dua maslahah (kebaikan) bersifat individu mahupun ummah.

Bukan bermaksud ibadah umrah itu disangkal, tetapi keutamaan ummah itu sangat dititiberatkan untuk diutamakan.

Tan Sri Tuan Guru Presiden menulis menyampaikan teguran ibarat seorang guru yang mendidik anak muridnya.

Pedih untuk diterima tetapi begitulah hakikatnya. Tiada siapa boleh mengubah prinsip keutamaan yang digariskan oleh syarak.

Tambahan lagi, pandangan Fiqh Ma’alat juga sangat mempengaruhi tindakan seseorang Muslim ketika berhadapan dengan kemaslahatan ummah dan negara.

Sudah tentu aspek menentukan kepimpinan kerajaan sangat mustahak untuk dipertimbangkan.

Oleh itu, DUPP ingin mengajak semua supaya bermuhasabah serta mengambil sisi pandang yang positif terhadap teguran tersebut.

Perkara ini telah menjadi tanggungjawab Tan Sri Tuan Guru dalam menyampaikan sesuatu yang hak dan memandu kita semua dalam pandangan syarak yang betul.

YB USTAZ DATO’ AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
27 Jamadilawwal 1444 Hijri | 22 Disember 2022 Miladi – HARAKAHDAILY 22/12/2022

- Advertisement -