MB ingatkan rakyat berwaspada walaupun hujan reda

- Advertisement -

TUMPAT: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub mengambil masa hampir dua jam setengah meninjau perkembangan banjir di sini yang melibatkan beberapa buah kampung dalam DUN Pengkalan Kubor.

- Advertisement -

Beliau yang diiringi anggota PDRM, Bomba dan Penyelamat, kakitangan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat meninjau Kampung Simpangan, Kampung Kubang Sawa, Kampung Naga Ibu dan Kampung Bendang Pok Yong.

Sebaik sahaja melihat perkembangan air ketika masih dalam tinjauan, beliau terus menghubungi pihak-pihak berkaitan agar membuat pemantauan segera.

Ketika ditemui, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati walaupun keadaan hujan kembali reda sejak dua hari lalu.

Menurutnya, Pantai Timur khususnya Kelantan masih dalam iddah banjir dan ia belum berakhir.

“Kerana itu pemantau mesti dilakukan setiap masa khususnya kawasan-kawasan yang rendah hendaklah sentiasa bersiap sedia untuk berpindah.

“Patuhi dan ikuti sentiasa arahan pihak berkuasa khususnya penduduk Tumpat berikutan air di beberapa buah kampung semakin naik setelah ban (struktur tebatan air) telah dibuka kerana dibimbangi ianya pecah akibat tidak mampu menahan air hujan yang banyak,” ujarnya.

Menurutnya, beberapa buah kampung di sini dinaiki air berbanding sebelumnya berikutan deposit air semakin bertambah.

Beliau melahirkan rasa bimbang berhubung perkembangan itu apa lagi hujan lebat turun sama ada dari negara jiran atau sebelah Hulu Kelantan.

“Kita di bahagian ini juga yang akan menerima kesannya, kerana itu saya ingatkan kepada semua pihak supaya bantu membantu sesama sendiri.

“Selain agensi-agensi kerajaan, kita juga seru badan-badan bukan NGO, penduduk kampung sama-sama membantu bagi meringkankan saat sukar ini,” ujarnya.

Hasil tinjauan tadi katanya, didapati masih ada yang belum berpindah walaupun rumah sudah ditenggelami air.

“Jadi kita berharap berpindahlah dengan kadar segera,” ujarnya.

Hadir sama pada sesi tinjauan itu, Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah, Pegawai Khas Menteri Besar, Hushaimi Husian, OCPD Tumpat, Supt Tan Seng Lee dan pegawai-pegawai kanan Bomba dan Penyelamat Tumpat. – HARAKAHDAILY 22/12/2022

- Advertisement -