Filem Mahgribi, Mesir, Iran disenarai pendek untuk Oscar 2023

Salah satu adegan filem, Cairo's Conspiracy. (FOTO: MoMA)
- Advertisement -

DUBAI: Selangkah lebih dekat untuk mengetahui calon-calon Oscar 2023, Academy of Motion Picture Arts and Sciences pada Rabu (21 Dis) telah mengeluarkan senarai pendek untuk 10 kategori yang dipertandingkan, dengan tiga filem adalah masing-masing dari Maghribi, Mesir dan Iran.

- Advertisement -

Filem The Blue Caftan oleh penerbit Maghribi, Maryam Touzani telah disenarai pendek untuk Anugerah Akademi dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik,  bersama-sama filem terbitan penerbit Mesir-Sweden, Cairo’s Conspiracy; dan naskhah arahan pengarah Iran, Ali Abbasi, Holy Spider.

Dibintangi pelakon Palestin, Saleh Bakri serta Lubna Azabal dan Ayoub Messioui, The Blue Caftan yang meraih sambutan memberangsangkan ketika ditayangkan pada Festival Filem Cannes 2022, mengisahkan tentang pasangan suami isteri yang menjalankan bisnes kedai kaftan buatan tangan di Maghribi, namun kedua-duanya menyembunyikan suatu rahsia yang tidak mahu didedahkan.

Cairo Conspiracy yang judul asalnya, Boy From Heaven pula berkisar tentang anak seorang nelayan, Adam yang ditawarkan keistimewaan tertinggi untuk belajar di Universiti Al-Azhar di Kaherah. Namun, apabila Imam Besar tiba-tiba meninggal dunia, Adam menjadi bidak dalam perebutan kuasa  antara golongan elit agama dan politik Mesir.

Sementara Holy Spider menyoroti kisah benar seorang pekerja binaan dan veteran perang Iran-Iraq pada tahun 2000 dan 2001, yang membunuh 16 pekerja seks wanita di bandar Mashhad, Iran.

Pengundian untuk calon-calon final akan bermula pada 12 Jan 2023 dan ditutup menjelang 17 Jan, sebelum senarai akhir calon-calon yang bertanding akan diumumkan pada 24 Jan.

Nama pemenang-pemenang Oscar 2023 akan diumumkan dalam majlis Anugerah Academy ke-95 yang dijadualkan berlangsung pada 23 Mac di Dolby Theatre Hollywood, Los Angeles, California, Amerika Syarikat. – HARAKAHDAILY 22/12/2022

- Advertisement -