Mangsa banjir di empat negeri menurun, Perak kekal

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim bersama Exco Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Rengas Bekah, Kuala Terengganu.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bilangan mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor menurun pada sebelah petang hari ini berbanding pagi tadi, manakala di Perak tidak berubah.

- Advertisement -

Di KELANTAN, seramai 25,755 orang daripada 8,015 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), berkurangan berbanding 30,115 orang daripada 9,189 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan 84 PPS di sembilan jajahan membabitkan Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Jeli dan Machang.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS pada petang ini juga menunjukkan penurunan iaitu seramai 33,942 orang berbanding 36,231 orang pada sebelah pagi.

Menurut Sekretariat JPBN sebanyak 9,739 keluarga masih berlindung di 256 PPS di kesemua lapan daerah iaitu Kemaman, Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

Di PAHANG, Sekretariat JPBN merekodkan penurunan mangsa banjir selepas hanya 23 orang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular, Kuantan petang ini, berbanding 35 orang pagi tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan Sungai Pahang di daerah Pekan iaitu di Kuala Sungai Chini dan Paloh Hinai selain di Lubuk Paku, Maran sudah melepasi tahap amaran.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di dua PPS di Segamat menurun sedikit kepada 46 orang berbanding 48 orang pagi tadi.

Menurut JPBN dua PPS yang masih dibuka di daerah itu iaitu di Balai Raya Kampung Batu Badak masih menempatkan 34 orang, manakala di Dewan Komuniti Kampung Tasek masih terdapat 12 mangsa.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan peringatan waspada apabila hujan berterusan dijangka berlaku di Segamat, Batu Pahat dan Pontian hingga esok.

Di PERAK, PPS SK Sungai Tiang Darat di Bagan Datuk menjadi satu-satunya PPS yang masih dibuka di negeri tersebut.

Seramai 26 mangsa banjir daripada 12 keluarga merupakan kumpulan terakhir yang berlindung di PPS itu berikutan rumah mereka masih digenangi air.

Jurucakap Sekretariat JPBN melaporkan Sungai Bidor di Changkat Jong Hilir Perak melebihi paras normal iaitu 2.82 meter, namun masih berada di bawah paras berjaga-jaga. – BERNAMA

- Advertisement -