Pembangunan belia harus diikat dengan rohani

- Advertisement -

KANGAR: Pembangunan belia harus diikat dengan pembangunan rohani agar mereka mampu mencorak masa depan negara.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, justeru itu pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif menjadikan institusi masjid sebagai pusat sehenti (one stop centre).

“Di samping memudahkan seluruh masyarakat menjadikan masjid dekat di hati, pengisian ilmu khususnya pembangunan ilmu al-Quran perlu diberi penekanan terhadap segenap rakyat.

“Termasuk dataran masjid dijadikan pusat sukan setempat bagi menampung kepadatan penduduk dengan ruang aktiviti yang terhad,” katanya ketika membahaskan Bajet 2023 pada Sidang DUN Perlis, di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, belia dan tokoh anak Perlis juga mesti diangkat sebagai ikon masyarakat untuk dijadikan idola dan sumber inspirasi.

“Organisasi yang melibatkan para belia hendaklah menjadi perantara terbaik dengan pihak kerajaan.

“Saya mohon pihak kerajaan senaraikan pertubuhan belia di negeri Perlis agar dapat dimanfaatkan oleh semua pihak terutamanya masyarakat setempat,” katanya.

Ujarnya lagi, begitu juga aspek pembangunan sukan bola sepak sejajar dengan hasrat manifesto kerajaan baharu.

“Suka untuk saya mengambil perhatian pihak kerajaan agar mengambil cakna yang serius dalam mewujudkan kem pembangunan latihan bola sepak bermula seawal usia prasekolah.

“Perkara ini bagi memastikan mereka terus mendapat bimbingan secara langsung sehinggalah mereka diserap sebagai pemain di peringkat negeri, nasional mahupun antarabangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/12/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -