Pembangkang berwibawa selaras prinsip prihatin, bersih dan stabil

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Advertisement

Menurutnya, hari ini, beliau bersama 73 lagi Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15.

“Kami akan memikul tugas semak dan imbang bagi memastikan tadbir urus kerajaan sentiasa berintegriti serta bebas daripada unsur-unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” ujarnya dalam hantara di Facebook beliau, malam ini.

Ini, ujarnya adalah selaras dengan prinsip prihatin, bersih dan stabil yang diperjuangkan oleh Perikatan Nasional.

Beliau menambah, pada masa yang sama juga PERIKATAN NASIONAL akan terus komited untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan hidup rakyat terjamin dan demokrasi terus subur di negara ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Johari Abdul kerana dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu.

“Terima kasih dan penghargaan juga kepada bekas Speaker Tan Sri Azhar Azizan yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang sepanjang perkhidmatan beliau,” ujarnya yang juga Presiden Bersatu. – HARAKAHDAILY 19/12/2022