MB Kelantan zahir takziah kepada keluarga tiga beradik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tiga beradik perempuan yang maut akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau dekat Morak, Tumpat, pagi tadi.

- Advertisement -

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa renjatan elektrik di Kampung Morak. Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan dan kesabaran kepada ahli keluarga mangsa,” katanya menerusi hantaran di laman sosial media Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, Ahmad turut menziarahi keluarga mangsa serta menghulurkan sumbangan wang tunai bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Sekretariat Pusat Khidmat Parlimen Tumpat Shalah Huddin Che Husin yang mewakili Ahli Parlimen Tumpat Datuk Mumtaz Md Nawi turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Datuk Mumtaz masih berada di Kuala Lumpur bagi sesi angkat sumpah di Parlimen hari ini. Sejurus selesai sidang dewan rakyat esok, beliau akan pulang ke Tumpat dan terus menziarahi keluarga mangsa,” katanya.

Media hari ini melaporkan, tiga beradik perempuan maut akibat terkena renjatan elektrik di sebuah rumah yang mengalami banjir di Kampung Bendang Surau dekat Morak, pagi tadi.

Mangsa Noor Fathiah Mohd Nadzir, 27, Sakinah, 29, dan Nurul Syazwani, 33, meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 11.30 pagi. – BERNAMA

- Advertisement -