Croatia dan Maghribi tetap bersemangat memburu gangsa

Lambang Qatar 2022 menghiasi Doha, tuan rumah Piala Dunia 2022
- Advertisement -

Ketika Croatia dan Maghribi kecewa selepas kekalahan di peringkat separuh akhir Piala Dunia, kedua-dua pasukan tetap bersemangat meninggalkan Qatar dengan penuh bangga apabila bersaing dalam penentuan tempat ketiga, Sabtu ini.

- Advertisement -

Menewaskan dua pasukan bertaraf dunia, Argentina dan Perancis untuk mara ke final, terbukti terlalu jauh untuk dicapai Croatia dan Maghribi. Namun kedua-dua pasukan berjaya mengenepikan pelbagai ramalan awal untuk mara ke separuh akhir.

Maghribi menulis semula sejarah bola sepak dunia apabila skuad Walid Regragui yang tidak pernah gentar menjadi pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir.

Mereka akan dialu-alukan sebagai wira apabila pulang tanpa mengira apa pun keputusan perlawanan esok, bukan sahaja mendapat penghormatan dan sokongan benua Afrika dan dunia Arab, malah mendapat tempat di hati peminat bola sepak yang menyukai kisah pasukan `underdog’ (pasukan yang tidak diberi peluang untuk berjaya).

Croatia dan Maghribi akan berdepan di Qatar buat kali kedua selepas seri 0-0 pada aksi pembukaan kumpulan mereka, sama seperti pada 2018 apabila Belgium dan England bertemu di peringkat kumpulan dan penentuan tempat ketiga.

“Perlawanan penentuan tempat ketiga tetap sukar, tetapi saya akan beri peluang kepada mereka yang tidak bermain dan kami akan cuba merangkul tempat ketiga,” kata Regragui.

“Perkara paling penting ialah menunjukkan penampilan yang baik terhadap pasukan dan bola sepak di Maghribi tidak banyak beza dengan pasukan bola sepak peringkat tinggi dunia.”

Bagi naib juara Piala Dunia 2018, Croatia layak ke final kedua berturut-turut yang pada mulanya kelihatan tidak mungkin menjadi kenyataan apabila hanya memenangi satu perlawanan peringkat kumpulan.

Namun hasil kecekalan, dua kemenangan melalui penentuan sepakan penalti ke atas Jepun dan pasukan pilihan, Brazil membolehkan mereka beraksi di separuh akhir menentang Argentina, tetapi Lionel Messi menjadi dalang kemusnahan mereka.

Secara realistik, sebelum kejohanan bermula, kami menerima jika hanya layak ke separuh akhir. Namun, kami kemudian mula bermimpi tentang piala itu,” kata pemain tengah Croatia, Lovro Majer.

“Apa pun, kami akan memberikan segala-galanya pada Sabtu ini dan cuba memenangi gangsa.”

Bagi Croatia, tempat ketiga mewakili peluang yang terlepas untuk menobatkan generasi emas dengan jurulatih, Zlatko Dalic mengesahkan kebanyakan mereka tidak akan bermain pada Piala Dunia akan datang.

“Saya beritahu pemain mereka perlu mendongakkan kepala, berbangga kerana memberikan yang terbaik dan kami mesti berjuang untuk tempat ketiga” kata Dalic.

“Tiada siapa akan menyalahkan pemain kami, saya mengucapkan tahniah kepada mereka atas segala yang telah mereka lakukan pada Piala Dunia ini. Sekarang kami perlu bangkit dan cuba memenangi pingat gangsa.” – REUTERS

- Advertisement -