KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (YIK) buat julung-julung kalinya menganjurkan Tilawah Al-Quran Peringkat YIK bagi melahirkan pelapis qari dan qariah di negeri itu.
Seramai 82 peserta dari 52 sekolah mengambil bahagian bagi merebut Piala Pengarah YIK tahun ini.
Pengarah YIK, Engku Rajhan Engku Ismail berkata, daripada jumlah itu hanya seramai 16 pelajar iaitu lapan qari dan lapan qariah berjaya ke peringkat akhir setelah melepasi beberapa ujian saringan bermula Jun hingga November lalu.
Menurutnya, program ini membuka ruang baharu untuk pelajar sekolah berkenaan berjuang dalam medan yang lebih mencabar iaitu bertaranum.
“Kita mempunyai ramai tenaga pembimbing, ada dalam kalangan mereka mewakili negeri dan antarabangsa dalam tilawah al Quran.
“Amat rugi jika tidak diambil peluang ini, apa lagi pelajar kita memang berada dalam lingkungan pendidikan Islam dan al-Quran, jadi kita manfaatkan ruang yang ada,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah tilawah al-Quran, sumbangan wang pengurusan dan kecemerlangan sekolah YIK di sebuah hotel di sini semalam.
Tambah beliau, usaha itu dibuat bukan hanya untuk melahirkan pelapis baharu dalam bidang tilawah, sebaliknya meningkatkan mutu bacaan dan taranum dalam kalangan pelajar YIK.
“Pelajar agama di bawah YIK lebih ramai berbanding sekolah agama di negeri-negeri lain. Justeru, diharapkan program berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang dan dijadikan program tahunan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar program berkenaan dapat menghimpunkan peserta dengan jumlah yang lebih besar dan menyeluruh melibatkan semua sekolah di bawah YIK.
“Saya juga mencadangkan semua sekolah dapat menubuh kelab taranum sebagaimana Persatuan bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan berbagai lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/12/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!