Maghribi mencatat sejarah sebagai negara Afrika dan Arab pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia apabila meneruskan kejutan di Qatar dengan kemenangan sensasi 1-0 ke atas Portugal.
Youssef En-Nesyri melonjak tinggi ke udara untuk menanduk masuk gol tunggal perlawanan sejurus sebelum separuh masa di Stadium Al-Thumama, Doha, untuk melakukan tamparan hebat terhadap `peraturan’ bola sepak yang biasanya hanya menemukan pasukan Eropah dan Amerika Selatan di peringkat separuh akhir.
Kemenangan ini membolehkan Maghribi bertemu Perancis yang menewaskan England 2-1 di peringkat empat terbaik Piala Dunia.
Keputusan ini disambut secara meluas di seluruh Afrika dan Asia Barat yang berbahasa Arab, teruja untuk melihat pasukan rantau itu bersaing di peringkat tertinggi dunia bola sepak.
Maghribi sebelum ini berjaya menumpaskan Belgium dan Sepanyol dalam Piala Dunia, tetapi kemenangan ke atas Portugal adalah lebih penting.
Kemenangan itu juga merupakan antara persembahan Maghribi yang lebih baik di Qatar, pertahanan berdisiplin dan serangan balas pantas, mengekang pemain bintang lawan walaupun kehilangan pemain pertahanan utama, Nayef Aguerd akibat kecederaan sebelum perlawanan serta kapten pasukan, Romain Saiss pada awal perlawanan separuh masa kedua.
Portugal pula kecewa apatah lagi berdepan antara pasukan tercorot dari segi ranking dalam Piala Dunia dan pengakhiran mengecewakan buat Cristiano Ronaldo yang berusia 37 tahun.
Maghribi mendapat sokongan sorakan gamat majoriti 44,198 penonton, tetapi kelihatan keletihan selepas kejayaan mara ke peringkat 16 terakhir ke atas Sepanyol dan lebih bertahan ketika Portugal menyerang sejak awal permainan.
Sepakan percuma pada minit keempat untuk Portugal dari jarak jauh di sebelah kanan disambut tandukan terbang Joao Felix, namun diselamatkan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou.

Maghribi mengetatkan pertahanan untuk mengecewakan penyerang Portugal. Joao Felix mempunyai dua lagi peluang pada separuh masa pertama, tetapi Maghribi mula lebih yakin dan mendapat nafas baharu dengan sering melakukan serangan balas.
Pemain pertahanan kiri, Yahya Attiat, membuat beberapa larian di sayap, memberikan peluang untuk menembusi gawang Portugal kepada Selim Amallah pada minit ke-35, tetapi tidak dapat disempurnakannya.
Tujuh minit kemudian, bola tinggi dari pertahanan sayap ke dalam kotak Portugal disambut oleh tandukan menjulang tinggi dari En-Nesyri, mengatasi penjaga gol, Diogo Costa dan pertahanan, Ruben Dias untuk meletakkan Maghribi di depan.
Kekecewaan Portugal terserlah apabila mereka mengerumuni pengadil Argentina, Facundo Tello pada penghujung separuh masa pertama, untuk mendapatkan penalti tetapi ditolak.
Maghribi hampir mendapat gol kedua selepas empat minit memasuki separuh masa kedua apabila Jawad El Yamiq mendapat sentuhan hasil sepakan percuma Hakim Ziyech, tetapi Costa tepat berada di posisinya untuk menghalang.
Ronaldo yang masuk pada minit ke-51 disambut dengan ejekan kuat, tetapi kehadirannya menyuntik tenaga baharu dalam pasukan Portugal apabila Goncalo Ramos yang melakukan hatrik dalam kemenangan 6-1 ke atas Switzerland sebelum ini melakukan tandukan bahaya pada minit ke-58.
Sepakan Bruno Fernandes pula melepasi palang lima minit kemudian ketika Portugal melakukan lebih banyak serangan dan Maghribi bertahan. Bounou sekali lagi melakukan aksi menyelamat percubaan bahaya Joao Felix ketika perlawanan berbaki tujuh minit.
Pemain Maghribi, Walid Cheddira, dilayangkan kad merah pada masa kecederaan selepas menerima kad kuning keduanya, namun negara Afrika dan Arab itu terus bertahan untuk mencatat kemenangan bersejarah dalam Piala Dunia. – REUTERS
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!