Enam maut dalam kejadian tembakan di Australia

Anggota polis memeriksa tempat kejadian yang membabitkan kematian enam orang di Queensland
- Advertisement -

SYDNEY: Enam orang termasuk dua pegawai polis terbunuh dalam kejadian tembakan di kawasan terpencil negeri Queensland.

- Advertisement -

Maklumat awal menunjukkan pegawai polis ditembak oleh dua orang bersenjata, petang semalam ketika mereka menghampiri kediaman di kawasan Wieambilla, kira-kira 300 kilometer barat laut ibu kota Queensland, Brisbane.

Jurucakap polis negeri berkata, hasil maklum balas pegawai pakar dan sokongan udara terhadap situasi tempat kejadian, tiga orang, termasuk seorang wanita ditembak mati.

Seorang awam turut terbunuh, manakala dua anggota polis dibawa ke hospital dalam keadaan kecederaan yang tidak mengancam nyawa.

Jenayah senjata api jarang berlaku di Australia yang melaksanakan undang-undang senjata api paling keras di dunia selepas seorang lelaki bersenjata membunuh 35 orang pada April 1996 di sebuah kafe dan tapak pelancongan di bekas penjara kolonial Port Arthur di Pulau Tasmania.

Mengikut laporan media tempatan, pegawai polis melawat tempat kejadian selepas laporan orang hilang difailkan di New South Wales terhadap Nathaniel Train.

Bekas pengetua sekolah berusia 46 tahun di New South Wales, Nathaniel Train dan abangnya Gareth Train serta seorang wanita yang tidak dikenali adalah penyerang yang ditembak mati oleh polis. Namun, polis tidak mendedahkan secara rasmi identiti mereka yang terbabit dalam kejadian itu.

Pegawai polis yang terbunuh dikenali sebagai Konstabel Matthew Arnold, 26 dan Konstabel Rachel McCrow, 29.

Perdana Menteri, Anthony Albanese, menyifatkan kejadian itu sebagai “hari yang mengerikan dan menyayat hati bagi keluarga dan rakan-rakan pegawai Polis Queensland yang kehilangan nyawa ketika bertugas.”

“Takziah saya kepada semua yang berduka – Australia berkabung bersama anda,” kata Albanese dalam tweet.

Pesuruhjaya Polis Queensland, Katarina Carroll, pula berkata kejadian tembakan itu adalah kehilangan nyawa terbesar yang dialami polis negeri itu. – REUTERS

- Advertisement -