Portugal mara ke suku akhir belasah Switzerland 6-1

Pemain Portugal meraikan kejayaan mara ke suku akhir Piala Dunia
- Advertisement -

Goncalo Ramos menjaringkan hatrik menakjubkan ketika Portugal membelasah Switzerland 6-1 untuk mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 2006.

- Advertisement -

Jurulatih Portugal, Fernando Santos, membuat keputusan berani untuk menggantikan Cristiano Ronaldo dan dibalas dengan persembahan penuh seni pasukannya ketika mengatur pertembungan lapan terakhir dengan Maghribi yang mengejutkan Sepanyol dalam penentuan sepakan penalti.

Ramos yang membuat penampilan pertamanya di Piala Dunia, memberikan Portugal pendahuluan pada minit ke-17 selepas menerima hantaran Joao Felix, lalu merembat bola melepasi penjaga gol Switzerland, Yann Sommer, berhampiran tiang dari sudut yang sukar.

Goncalo Ramos menjadi wira baharu Portugal, meledak hatrik

Penyerang Benfica berusia 21 tahun itu menjaringkan gol kedua dan ketiganya, enam minit selepas waktu rehat selepas menerima hantaran lintang rendah Diogo Dalot dan melengkapkan hatriknya pada minit ke-67 dengan penyudah yang cantik.

Pepe menggandakan kelebihan Portugal melalui tandukan deras hasil tendangan sudut Bruno Fernandes selepas 33 minit, diikuti Raphael Guerreiro meledak gol keempat pada minit ke-55 sebelum Rafael Leao melengkapkan kemenangan besar Portugal pada masa tambahan dengan penyudah melengkung.

Manuel Akanji menjaringkan gol sagu hati untuk Switzerland dari sepakan sudut pada minit ke-58. – REUTERS

- Advertisement -