Piala Dunia Qatar: Korea Selatan pula buat kejutan

Pemain Korea Selatan meraikan kemenangan ke atas Portugal. - REUTERS
- Advertisement -

Korea Selatan tidak mahu kalah dengan negara jiran, Jepun yang layak ke pusingan kalah mati apabila membuat kejutan menewaskan Portugal, 2-1.

- Advertisement -

Gol Hwang Hee-chan pada minit kecederaan memberikan kemenangan sensasi Korea Selatan terhadap Portugal yang turut membariskan Cristiano Ronaldo.

Bagaimanapun, pemain dan penyokong Korea Selatan terpaksa menunggu hingga mengetahui keputusan satu lagi perlawanan Kumpulan H yang kemudian berkesudahan Uruguay menewaskan Ghana 2-0.

Bagaimanapun, Korea Selatan mengatasi Uruguay untuk meraih kedudukan naib juara kumpulan itu di belakang Portugal kerana mempunyai kelebihan dari segi jaringan gol.

Dalam perlawanan Kumpulan G, Cameroon juga membuat kejutan menewaskan Brazil 1-0 tetapi tetap tersingkir dari Piala Dunia.

Ini berikutan kejayaan Switzerland mengalahkan Serbia 3-2 untuk menduduki tempat kedua kumpulan itu.

Di pusingan 16 terbaik, Switzerland akan bertemu Portugal, manakala Korea Selatan menentang Brazil.

Uruguay-Ghana

Giorgian de Arrascaeta meledak dua gol untuk membantu Uruguay membenam Ghana 2-0. Namun kemenangan itu tidak cukup membawa mereka layak ke pusingan seterusnya berikutan kemenangan Korea Selatan ke atas Portugal.

Ghana yang terkenal kerana kegagalan menyempurnakan sepakan penalti pada masa tambahan suku akhir Piala Dunia menentang Uruguay 12 tahun lalu, seperti mengulangi sejarah itu dengan mensia-siakan peluang untuk mendahului pada minit ke-21.

Kali ini, sepakan penalti Andre Ayew mudah diselamatkan Sergio Rochet. Uruguay kemudian menghukum kesilapan Ghana dengan meledak gol pertama pada kejohanan ini menerusi De Arrascaeta pada minit ke-26 sebelum sekali lagi menggandakan kelebihan Uruguay menerusi voli menarik enam minit kemudian.

Kemenangan itu meletakkan Uruguay di tangga ketiga dengan empat mata, terikat bersama Korea Selatan yang mara ke pusingan seterusnya dengan kelebihan jumlah jaringan gol.

Korea Selatan-Portugal

Korea Selatan bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Portugal 2-1, sekali gus mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia sebagai naib juara Kumpulan H.

Portugal, yang sudah mengesahkan tempat di pusingan 16 terakhir, hanya memerlukan keputusan seri untuk bergelar juara kumpulan.

Ricardo Horta meletakkan Portugal di depan seawal minit kelima selepas mendapat hantaran Diogo Dalot. Korea Selatan yang memerlukan kemenangan untuk berpeluang layak ke pusingan kalah mati, menyamakan kedudukan menerusi Kim Young-gwon pada minit ke-27.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat tempoh permainan sebenar dan Korea Selatan yang di ambang penyingkiran, tidak berputus asa untuk mencari kemenangan.

Usaha Korea Selatan akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang Son Heung-min melakukan gerakan dalam masa kecederaan dan lorongannya disempurnakan Kwang Heechan untuk gol kemenangan.

Wajah kecewa pemain Cameroon. Walaupun menumpaskan Brazil, tetapi terkeluar dari saingan Piala Dunia. – REUTERS

Cameroon-Brazil

Cameroon menewaskan Brazil yang menurunkan barisan kedua pada aksi terakhir Kumpulan G, namun keputusan itu tidak cukup untuk mengelakkan negara itu tersingkir dari Piala Dunia.

Wakil Afrika itu menamatkan saingan di tempat ketiga dengan empat mata, dua mata di belakang Switzerland yang berjaya menewaskan Serbia 3-2.

Brazil memberikan ancaman dengan Fred, Antony dan Bruno Guimaraes, berpeluang menjaringkan gol dengan Gabriel Martinelli paling menyerlah buat juara dunia lima kali itu.

Namun, Cameroon berjaya memecah kekebalan Brazil pada minit ketiga masa tambahan menerusi tandukan Vincent Aboubakar yang turut dilayangkan kad kuning kedua kerana menanggalkan jersi bagi meraikan gol kemenangan itu.

Switzerland-Serbia

Dalam satu lagi perlawanan terakhir Kumpulan G, Switzerland mengatasi Serbia 3-2 untuk mara ke pusingan 16 terakhir buat kali ketiga berturut-turut.

Kemenangan itu meletakkan Switzerland berkongsi enam mata dengan Brazil, tetapi negara Amerika Selatan itu muncul sebagai juara kumpulan kerana kelebihan dari segi jaringan.

Switzerland mendahului permainan menerusi rembatan Xherdan Shaqiri pada minit ke-20, menjadikan pemain sayap itu sebagai pemain pertama negaranya menjaringkan gol di tiga edisi Piala Dunia.

Namun, kegembiraan itu hanya bertahan enam minit apabila Serbia yang perlu menang untuk layak ke pusingan seterusnya, meledak dua kali menerusi Aleksandar Mitrovic dan Dusan Vlahovic.

Dua gol jaringan Breel Embolo dan Remo Freuler, sebelum dan selepas rehat memastikan Switzerland terus kekal di Qatar, manakala Serbia tersingkir. – REUTERS/AGENSI

- Advertisement -