Kegagalan pertama Anwar Ibrahim

- Advertisement -

SEHINGGA setakat rencana ini ditulis, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ke-10, belum lagi mengeluarkan kenyataan rasmi senarai anggota kabinet beliau. Sudah lebih seminggu beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Anwar belum lagi membentuk kerajaan secara sempurna.

- Advertisement -

Laporan daripada agensi-agensi berkaitan dengan bencana banjir seperti MET Malaysia dan JPS meramalkan sehari dua ini akan berlaku banjir berskala lebih besar daripada kejadian-kejadian banjir yang berlaku kebelakangan ini. Bagaimana agaknya negara akan menghadapi bencana ini tanpa sebuah kerajaan yang sempurna?

Sebagaimana amalan lazim kerajaan, bila berlaku bencana banjir maka akan dikeluarkan peruntukan-peruntukan khas di bawah item Bajet kecemasan untuk disalurkan untuk usaha penyelamat dan kebajikan mangsa banjir. Bagaimanakah peruntukan itu boleh diuruskan dalam situasi kementerian yang mengetuai agensi-agensi berkaitan banjir belum wujud?

Demikian juga, bagaimana kerajaan boleh membuat keputusan-keputusan kritikal di saat berlaku kecemasan bencana sekiranya anggota mesyuarat kerajaan masih belum wujud dan Menteri berkaitan masih belum dilantik? Tidak wajar keputusan-keputusan kritikal itu, hanya diputuskan oleh seorang Perdana Menteri.

Kemungkinan berlaku banjir pada bulan Disember ini atau pada musim tengkujuh sudah dimaklumi ramai. Malah PH antara yang paling lantang menentang diadakan PRU15 pada ketika ini, kerana fokus seharusnya diberikan terhadap bencana banjir. Sekarang banjir berkemungkinan berlaku dalam tempoh terdekat, tetapi Perdana Menteri belumpun menyiapkan jenteranya.

Selain daripada itu, kelewatan Anwar membentuk anggota pentadbirannya berkemungkinan menyebabkan Pembentangan Bajet 2023 tergendala. Bajet tahunan adalah dibuat berdasarkan portfolio kementerian yang wujud. Jika Menteri belum dilantik bermakna kementerian belum wujud, dan peruntukan-peruntukan mengikut kementerian juga belum wujud.

Sempatkah Menteri-menteri yang bakal dilantik nanti untuk meneliti peruntukan bajet kementerian yang disediakan oleh kerajaan terdahulu? Bolehkah penelitian mereka ini disiapkan dalam tempoh dua minggu dari sekarang sekiranya Bajet 2023 mahu dibentang minggu ketiga atau hujung bulan ini? Apakah yang akan berlaku kepada negara dan rakyat jika Bajet 2023 masih belum diluluskan selepas melampaui tahun baru.

Jelas sekali, Anwar sangat lambat bertindak untuk menamakan anggota-anggota kabinetnya sedangkan persekitaran amat menghambat sekarang ini. Apa yang ketara, Perdana Menteri disibukkan dengan aktiviti-aktiviti sosialnya berbanding tindakan cepat untuk mengaktifkan jentera pentadbirannya. Baru sahaja seminggu, Anwar telah menempa kegagalan pertama.

MOHD ZUHDI MARSUKI 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/12/2022

- Advertisement -