Beri sepenuh kepercayaan kepada Majlis Raja-Raja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyeru kepada seluruh rakyat memberikan sepenuh kepercayaan kepada institusi istana dan Majlis Raja-Raja untuk menoktahkan kemelut yang sedang melanda negara ketika ini.

- Advertisement -

“Insya-Allah, pasti ada hikmah luar biasa untuk rakyat Malaysia. Teruskan berdoa dan bertawakal kepada-Nya,” ujar Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, situasi politik terkini memerlukan kepada pemimpin yang amanah dan bersih untuk menstabilkan semula negara, bukannya mereka yang menipu institusi Raja dan terlibat dalam kes salah laku integriti, terutamanya kes rasuah.

“Sejarah Islam dan dunia banyak mengajarkan kepada kita bagaimana sebuah negara, termasuklah empayar terbesar dunia jatuh angkara pemimpin yang korup dan gila kuasa,” katanya yang memenangi Kerusi Parlimen Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Menurutnya, Rasulullah S.A.W pernah ditanyakan oleh Abu Dzar tentang apakah maksud Baginda S.A.W apabila menyatakan sekiranya hilangnya sifat amanah, kemudian hadirnya pembalasan, jawab Baginda S.A.W yang bermaksud: “Sekiranya tampuk kepimpinan jatuh kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah hari pembalasan”.

Beberapa hari ini, ujar beliau kelompok yang mempunyai bibit yang sama sedang giat memainkan naratif mensucikan kluster mahkamah dan seumpamanya demi kuasa.

Tambahnya, rakyat pula seolah-olah lupa akan kenyataan wujudnya kluster-kluster itu kerana terpengaruh dengan naratif mereka.

“Bagi PAS dan PERIKATAN NASIONAL, prinsip perjuangan kita jelas. Kita menolak mana-mana individu yang terlibat dalam salah laku integriti.

“Kita akan kekal konsisten mentadbir negara dengan prihatin, bersih dan stabil. Ini komitmen kita,” tegas beliau.

Oleh itu, beliau memohon kepada semua ahli PAS dan PERIKATAN NASIONAL, termasuklah rakyat Malaysia yang mengundi PERIKATAN NASIONAL pada PRU15 sehingga menghasilkan satu kemenangan luar biasa, terus bersemangat menantikan berita-berita baik yang akan diumumkan selepas ini.

“Kita berikan sepenuh kepercayaan kepada institusi istana dan Majlis Raja-Raja yang dipimpin oleh kebijaksanaan KDYMM Yang di-Pertuan Agong untuk menoktahkan kemelut yang melanda,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/11/2022

- Advertisement -