Pekerja penyelamat gigih cari mangsa gempa bumi

Mangsa gempa bumi di Cianjur dirawat di hospital yang sesak
- Advertisement -

CIANJUR: Pekerja penyelamat Indonesia bertungkus lumus mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan selepas gempa bumi memusnahkan bandar Jawa Barat semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 162 orang dan mencederakan ratusan lain.

- Advertisement -

Gempa bumi berukuran 5.6 skala Richter itu berpusat berhampiran bandar Cianjur di kawasan pergunungan wilayah paling ramai penduduk di Indonesia. Gegaran pada petang Isnin itu mendorong penduduk yang panik melarikan diri ke jalan raya apabila bangunan runtuh.

Hospital tidak dapat menampung jumlah mangsa, menyebabkan tempat letak kereta hospital di Cianjur dipenuhi mangsa yang cedera. Sebahagian dirawat di khemah sementara, manakala mangsa lain dirawat di kawasan terbuka.

“Semuanya runtuh dan saya tersepit di bawah kanak-kanak ini,” kata seorang mangsa yang dikenali sebagai Cucu, 48, di kawasan parkir hospital yang sesak.

“Dua anak saya terselamat, saya gali mereka… Dua lagi saya bawa ke sini, tapi seorang masih hilang,” katanya sambil menangis.

Jurucakap polis Indonesia, Dedi Prasetyo, berkata ratusan pegawai polis dikerahkan untuk membantu mempercepatkan usaha menyelamat.

“Tugas utama pegawai polis ialah untuk memberi tumpuan terhadap usaha memindahkan mangsa,” katanya.​​

Sekurang-kurangnya 162 orang terbunuh dalam kejadian ini, kebanyakan kanak-kanak dengan lebih 300 cedera, manakala Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil, memberi amaran bahawa ada penduduk di kawasan terpencil yang masih terperangkap.

Katanya, pihak berkuasa menjalankan operasi dengan anggapan bahawa jumlah yang cedera dan kematian akan meningkat dari semasa ke semasa.

Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), agensi kerajaan yang menangani kejadian bencana mengesahkan kematian 62 orang, tetapi tidak mengesahkan 100 mangsa lain.

Pegawai BNPB juga sedang berusaha untuk sampai ke kawasan Cugenang yang terputus dengan kawasan lain akibat tanah runtuh.

Usaha menyelamat bertambah rumit berikutan gangguan elektrik di beberapa kawasan, selain lebih 80 gegaran susulan.

“Gempa bumi semalam yang dirasai kuat di ibu negara, Jakarta yang terletak kira-kira 75 kilometer dari tempat kejadian, merosakkan sekurang-kurangnya 2,200 rumah dan menyebabkan lebih 5,000 orang kehilangan tempat tinggal,” kata BNPB.

Terletak di jajaran gunung berapi yang aktif secara seismik dengan dua plat berbeza di kerak bumi bertemu, Indonesia mempunyai sejarah gempa bumi yang dahsyat.

Pada 2004, gempa bumi berukuran 9.1 magnitud di Sumatera di utara Indonesia mencetuskan tsunami yang melanda 14 negara, membunuh 226,000 orang di sepanjang pantai Lautan Hindi, dengan lebih separuh mangsa di Indonesia. – HARAKAHDAILY 22/11/2022

- Advertisement -