GPS serah kepada kebijaksanaan Agong lantik PM10

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
- Advertisement -

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam soal pelantikan perdana menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.

- Advertisement -

GPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.

“Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan Kerajaan Malaysia yang melibatkan penyertaan mereka bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

GPS merupakan gabungan empat parti tempatan Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Pada Ahad lepas GPS mengumumkan persetujuan untuk membentuk gabungan bersama PN, BN dan GRS bagi membentuk kerajaan Persekutuan dengan memilih Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

“Fokus dan tanggungjawab utama kita sekarang haruslah kepada kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” kata Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sidang media bagi mengumumkan perkara itu di sini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, GPS memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini. – BERNAMA

- Advertisement -